Lelaki ditahan ugut dua anak dengan parang

No Image Caption
A
A
A

PASIR SALAK - Seorang buruh ditahan polis selepas mengugut dua anaknya dengan parang dalam kejadian di Sungai Kerang, Teluk Intan di sini pada Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 11.20 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun telah pergi ke rumah keluarga bekas isterinya untuk mengajak dua anaknya pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, suspek yang memegang parang memanggil anaknya iaitu lelaki berusia 14 tahun dan perempuan berusia 16 tahun.

"Suspek menjerit nama kedua-dua anaknya itu sambil mengugut untuk menetak mereka jika tidak pulang ke rumah dalam masa sejam.

"Dua beradik itu bagaimanapun tidak berani keluar kerana bimbang ayah mereka akan bertindak lebih agresif.

"Suspek juga bertindak membaling sebatang kayu ke dalam rumah menerusi tingkap yang terbuka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Menurut beliau, suspek kemudiannya beredar dengan menaiki sebuah kereta setelah perbuatannya itu ditegur oleh jiran-jiran.

"Kita telah menerima satu laporan dan siasatan mendapati kedua-dua beradik itu telah bermalam di rumah itu sejak Jumaat lalu.

Artikel Berkaitan:

"Mereka berasa takut dan bimbang dengan keselamatan diri selepas melihat keadaan bapa mereka yang tidak tidur selama empat hari berturut-turut," katanya.

Barudin berkata, suspek berjaya ditahan sekitar jam 2.45 petang di rumahnya dan merampas sebilah parang serta sebatang kayu.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek direman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.