Usul undi percaya PM hanya gimik - Hamzah

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut berbahas mengenai usul terhadap keabsahan perlantikan Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut berbahas mengenai usul terhadap keabsahan perlantikan Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya gimik semata-mata, terutama selepas perjanjian dimeterai antara lima parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Justeru Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut itu berkata, usul yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petrajaya) itu telah mewujudkan pelbagai persoalan.

"Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong atau kerana kerajaan dibentuk ini adalah kerajaan minoriti walaupun seperti kenyataan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah pun dalam pusingan pertama memperoleh sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Kami sedar bahawa usul ini adalah gimik semata-mata apatah lagi dilakukan selepas satu Perjanjian Persefahaman Kerjasama (MoA) ditandatangani semua pemimpin gabungan parti-parti yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

“MoA itu merosakkan dan memudaratkan. Perjanjian itu adalah satu perjanjian haram yang menyekat, merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen,” katanya ketika sesi perbahasan Usul Undi Percaya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, Hamzah turut beranggapan MoA berkenaan bercanggah dengan prinsip asas demokrasi berparlimen yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang di negara ini.

Ini kerana katanya, ia menyekat kebebasan bersuara, membahas dan mengundi di Parlimen serta kesemua hak-hak yang dijamin dalam satu sistem demokratik.

“Ia haram, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan polisi awam, tidak sah dan tidak dibenarkan di sisi undang-undang. Ia berunsur salah, menyekat, merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Artikel Berkaitan:

“Bagi mengharungi dan menangani krisis ekonomi semasa pada skala makro untuk pemulihan jangka masa panjang, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang prihatin, stabil dan bersih serta menghormati kedaulatan undang-undang Perlembagaan Persekutuan serta sistem demokrasi negara.

“Oleh itu, sekatan terhadap kuasa dan hak ahli Parlimen untuk bersuara dan berbahas akan menghalang isu-isu kritikal rakyat untuk diutarakan dengan setelusnya. Ahli-ahli Parlimen juga akan dihalang untuk menyuarakan yang benar dan yang betul,” jelas beliau.

.