Bagaimana anda berbelanja untuk keperluan isi rumah?

Rentak perbelanjaan isi rumah di Malaysia

A
A
A

No Image Caption



Apabila bercakap tentang perbelanjaan, realitinya setiap bulan kita pasti akan membelanjakan wang untuk tuntutan keperluan harian.

Keperluan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, bil utiliti, persekolahan anak atau bayaran balik pinjaman antara yang tidak boleh dinafikan.

Namun di sebalik keperluan itu, rakyat Malaysia dikatakan gemar berbelanja. Selain berbelanja untuk keperluan isi rumah, rakyat Malaysia juga dikatakan sering berbelanja di luar rumah.

Dalam keadaan apa jua bentuk ekonomi semasa, orang ramai masih memenuhi pusat membeli-belah, kedai-kedai makan dan tempat pelancongan. Bagaimana corak perbelanjaan harian anda?

Artikel ini disediakan untuk melihat corak perbelanjaan isi rumah di Malaysia, khususnya bagi perbelanjaan makan di luar rumah selain meneliti faktor-faktor signifikan yang boleh mempengaruhi kecenderungan rakyat Malaysia untuk makan di luar.

Selain itu, artikel ini juga akan meneliti trend Indeks Harga Pengguna (IHP) dan inflasi bagi kelas perbelanjaan di bawah subkumpulan makanan di luar rumah untuk melihat sama ada aspek harga mempengaruhi corak perbelanjaan isi rumah untuk makan di luar rumah.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dipacu oleh peningkatan penyertaan tenaga buruh, pendapatan boleh guna yang meningkat dan perbelanjaan penggunaan yang stabil.

Perbelanjaan penggunaan secara tidak langsung mewujudkan permintaan dan seterusnya merancakkan ekonomi negara.

Terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi perubahan komposisi dan corak perbelanjaan isi rumah di Malaysia. Antaranya ialah tingkat pendapatan, harga barangan dan cita rasa.

Oleh itu, pemahaman mengenai gelagat pengguna adalah penting dalam merangka dan melaksanakan strategi yang berkesan untuk mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan serta taraf hidup masyarakat.

Gelagat pengguna ini boleh difahami dan dikaji melalui tinjauan yang dibuat khas oleh pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui Household Expenditure Survey (HES) yang mengumpul data secara komprehensif berdasarkan corak perbelanjaan dan penggunaan harian isi rumah.

Perbelanjaan penggunaan memainkan peranan yang penting dalam menggerakkan ekonomi dalam negara. Perbelanjaan penggunaan yang tinggi menggambarkan keupayaan membeli isi rumah yang kukuh, seterusnya menjamin kestabilan pembangunan masyarakat dan kepesatan ekonomi.

Konsep utama perbelanjaan

No Image Caption



Terdapat tiga konsep utama perbelanjaan yang perlu difahami dalam menganalisis perbelanjaan isi rumah iaitu perbelanjaan penggunaan isi rumah, perbelanjaan bukan penggunaan isi rumah dan perbelanjaan semasa.

Perbelanjaan penggunaan isi rumah merupakan perbelanjaan penggunaan persendirian bagi barangan dan perkhidmatan sepanjang tempoh rujukan.

Perbelanjaan ini merujuk kepada nilai barangan dan perkhidmatan pengguna yang diperoleh, diguna atau dibayar oleh isi rumah melalui pembelian langsung, hasil pengeluaran sendiri, melalui pertukaran barangan dan perkhidmatan atau pendapatan dalam bentuk mata benda untuk memenuhi keperluan dan kehendak isi rumah.

Sementara perbelanjaan bukan penggunaan pula, merujuk kepada pembayaran ke atas perkhidmatan kewangan dan lain-lain bayaran kepada kerajaan bagi tujuan menambah hasil negara. Ini bermaksud bayaran tersebut tidak mendapat pulangan atau faedah.

Contoh perbelanjaan bukan penggunaan adalah pembayaran dalam bentuk pindahan seperti cukai pendapatan, caruman keselamatan sosial, bayaran pampasan, bayaran wajib dan denda, pemberian kepada isi rumah lain dan bayaran balik pinjaman seperti perumahan, kenderaan dan pelaburan.

Jumlah bagi kedua-dua perbelanjaan penggunaan dan perbelanjaan bukan penggunaan ini akan membentuk perbelanjaan semasa isi rumah.

Classification of Individual Consumption According to Purpose (COICOP) menyediakan panduan klasifikasi item barangan dan perkhidmatan berdasarkan 13 kumpulan perbelanjaan.

Kumpulan perbelanjaan 1 hingga 12 merujuk kepada perbelanjaan penggunaan, manakala kumpulan perbelanjaan 13 adalah merujuk kepada perbelanjaan bukan penggunaan.

No Image Caption



Survei Perbelanjaan Isi Rumah 2019 (HES 2019)

No Image Caption



Pada 2019, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan rakyat Malaysia secara puratanya telah meningkat kepada RM4,534 berbanding RM4,033 pada 2016. Pertumbuhan pada kadar 3.9 peratus ini adalah selari dengan pertumbuhan sederhana pendapatan isi rumah bulanan purata pada kadar 4.2 peratus bagi tempoh yang sama.

Hasil dapatan HES 2019 menunjukkan, daripada 12 kumpulan utama perbelanjaan penggunaan, isi rumah banyak berbelanja bagi tiga kumpulan utama barang keperluan asas iaitu:

- Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (RM1,068: 23.6%).

- Makanan & Minuman Bukan Alkohol (RM783: 17.3%).

- Pengangkutan (RM611: 13.5%).

Selain tiga kumpulan ini, isi rumah di Malaysia juga banyak berbelanja dalam kumpulan restoran dan hotel iaitu kombinasi barangan keperluan asas dan pilihan. Perbelanjaan bagi kumpulan ini sebanyak RM631 (13.9 peratus) merupakan antara komponen perbelanjaan tertinggi mengatasi kumpulan pengangkutan.

Perbelanjaan makan di luar yang digambarkan melalui perbelanjaan dalam kumpulan ini menunjukkan isi rumah juga cenderung berbelanja untuk makan di luar rumah.

Corak perbelanjaan makan di luar rumah

Peratusan Perbelanjaan Makanan Makan Di Luar dan Makan Di Rumah Oleh Isi Rumah di Malaysia, 2004-2019

No Image Caption



Berdasarkan laporan HES 2019, corak perbelanjaan makan di luar rumah menunjukkan peningkatan dan selari dengan perubahan gaya hidup moden, tabiat pemakanan, urbanisasi, perkembangan industri perkhidmatan makanan dan tahap ekonomi yang kukuh.

Pendapatan isi rumah, lokasi dan kumpulan etnik utama antara faktor signifikan yang menyumbang kepada aktiviti makan di luar oleh isi rumah di Malaysia.

Secara umumnya, perbelanjaan bagi makanan boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu makan di rumah dan makan di luar rumah (seperti restoran, gerai termasuk yang dibeli di luar tetapi makan di rumah).

Pada 2019, perbelanjaan bagi makan di luar rumah dan makan di rumah masing-masing menyumbang sebanyak 11.2 peratus dan 17.3 peratus kepada jumlah perbelanjaan rakyat Malaysia. Ia merupakan 28.5 peratus daripada 12 kumpulan utama perbelanjaan.

Walaupun perbelanjaan makan di luar rumah merekodkan peratusan yang rendah berbanding makan di rumah, namun pertumbuhannya masih menunjukkan aliran yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Perbelanjaan makan di luar rumah

Perbelanjaan isi rumah purata sebulan di Malaysia untuk makan di luar pada 2019 berjumlah RM508 iaitu meningkat sebanyak RM78 daripada RM430 pada 2016.

Hasil dapatan HES 2019 menunjukkan corak dan komposisi perbelanjaan makan di luar isi rumah Malaysia adalah berbeza mengikut kategori seperti berikut:

No Image Caption



Trend perbelanjaan isi rumah

Dalam tempoh empat dekad, terdapat perubahan dalam corak perbelanjaan isi rumah di Malaysia. Komposisi perbelanjaan isi rumah bagi barangan pilihan dan perkhidmatan telah meningkat secara relatif berbanding perbelanjaan bagi keperluan asas.

Komposisi perbelanjaan isi rumah bagi barangan pilihan meningkat daripada 20.6 peratus (1980) kepada 27.1 peratus (2019). Sementara itu, komposisi perbelanjaan isi rumah bagi keperluan asas berkurang daripada 50.8 peratus (1980) kepada 43.8 peratus (2019).

Siri Masa Peratusan Perbelanjaan Penggunaan Isi Rumah Malaysia

No Image Caption



Merujuk kepada tingkah laku pengguna, apabila pendapatan boleh guna isi rumah meningkat, corak perbelanjaan isi rumah juga terkesan dengan senario dan kehendak semasa.

Keupayaan berbelanja untuk barangan dan perkhidmatan bagi sesebuah ekonomi merupakan indikator menggambarkan taraf hidup penduduk semakin meningkat.

Selaras dengan status Malaysia yang menuju ke arah negara maju, komposisi perbelanjaan isi rumah berpendapatan rendah ke atas barangan pilihan turut meningkat daripada 13.5 peratus (1980) kepada 21.1 peratus (2019). Komposisi perbelanjaan penggunaan bagi keperluan asas pula berkurang daripada 71.0 peratus (1980) kepada 57.5 peratus (2019).

Siri Masa Peratusan Penggunaan Isi Rumah B20

Artikel Berkaitan:

No Image Caption



Trend ini adalah sejajar dengan komposisi perbelanjaan penggunaan isi rumah di negara-negara maju,. Apabila taraf kehidupan semakin baik, komposisi perbelanjaan untuk keperluan asas berkurangan.

Isi rumah di negara-negara maju berbelanja kurang 10 peratus daripada pendapatan mereka untuk perbelanjaan makan di rumah, antaranya:

Peratus pendapatan untuk perbelanjaan makan di rumah

No Image Caption



Pemerhatian ini juga adalah sejajar dengan teori ekonomi ‘Engel's Law’ yang diasaskan oleh Ernst Engel, seorang perangkawan Jerman tahun 1857, yang menyatakan bahawa peratus perbelanjaan pendapatan untuk barangan makanan akan berkurang apabila pendapatan meningkat.

Apabila pendapatan isi rumah meningkat, kadar peratus perbelanjaan untuk barangan makanan akan menurun manakala kadar peratus perbelanjaan untuk barangan lain (pilihan/mewah) akan meningkat (sumber: Investopedia).

Keadaan dan gaya hidup semasa punca rakyat Malaysia cenderung makan di luar

Selain daripada faktor-faktor signifikan yang telah dinyatakan, kecenderungan rakyat Malaysia untuk makan di luar turut dipengaruhi oleh keadaan dan gaya hidup semasa iaitu:

No Image Caption



Trend harga makanan di luar

Perubahan corak perbelanjaan serta kecenderungan rakyat Malaysia untuk makan di luar memberi kesan kepada perubahan harga makanan yang dijual.

Secara lazimnya, perubahan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran diukur menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang memberi maklumat mengenai kenaikan purata dalam harga dengan andaian bahawa :

- Wujudnya keseragaman dalam corak perbelanjaan seluruh isi rumah.

- Kualiti barangan dan perkhidmatan dalam “bakul penggunaan” adalah tidak berubah.

Setiap item dalam “bakul penggunaan” ini merupakan barangan dan perkhidmatan selalu digunakan dan menjadi pilihan orang ramai.

Pemilihan item adalah berasaskan kepada nilai penggunaan yang diperolehi melalui HES. Barangan dan perkhidmatan ini akan dikelaskan kepada 12 kumpulan utama dan mempunyai ‘wajaran' atau nilai pemberat yang berbeza-beza merujuk kepada kecenderungan atau kepentingan sesuatu barangan atau perkhidmatan itu menjadi pilihan isi rumah. Semakin banyak perbelanjaan isi rumah ke atas sesuatu item tersebut, semakin tinggi nilai peratus wajarannya.

Daripada 12 kumpulan utama tersebut, kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol mempunyai wajaran terbesar yang merangkumi 29.5 peratus daripada keseluruhan bakul perbelanjaan barangan dan perkhidmatan oleh pengguna isi rumah. Perbelanjaan di bawah kumpulan ini boleh dibahagikan kepada tiga pengkelasan utama seperti berikut:

Pengkelasan di Bawah Kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol

No Image Caption



Makanan Di Luar Rumah (Food Away from Home - FAFH) dilihat menjadi pilihan utama dengan kadar 11.5%, iaitu meningkat 1.5 mata peratus berbanding tahun 2010 (10.0 peratus). Peningkatan ini menunjukkan kecenderungan isi rumah untuk makan di luar rumah berbanding pembelian item makanan bagi tujuan penyediaan makanan siap untuk dimakan di rumah.

Wajaran Subkumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol

No Image Caption



Indeks harga pengguna & inflasi bagi kumpulan makanan & minuman bukan alkohol

Memandangkan sebilangan besar isi rumah di Malaysia berbelanja lebih banyak untuk makanan dan minuman, harga makanan cenderung menjadi antara sumbangan tertinggi terhadap kenaikan inflasi secara keseluruhan.

Jurang peningkatan harga kumpulan makanan berbanding keseluruhan dilihat semakin laju bermula pada 2016 dan semakin melebar sehingga tahun 2022.

No Image Caption



Jurang yang melebar ini bermaksud kadar peningkatan harga bagi item makanan meningkat dengan lebih tinggi dan cepat berbanding item-item lain dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh isi rumah.

Dengan nilai wang yang sama, isi rumah kini hanya dapat membeli kuantiti item makanan yang lebih sedikit berbanding dahulu. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya peningkatan harga makanan di pasaran, antaranya seperti:

- Faktor permintaan dan penawaran iaitu apabila permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan meningkat serta mengatasi kemampuan kuantiti pengeluaran barangan dan perkhidmatan oleh pembekal, peningkatan harga akan berlaku.

- Peningkatan kos logistik dan pengangkutan antarabangsa (seperti caj perkhidmatan kargo udara dan kontena, caj gudang serta caj perkhidmatan lain di pelabuhan).

- Penyusutan nilai mata wang ringgit Malaysia berbanding mata wang utama dunia.

- Kenaikan harga komoditi global seperti minyak mentah (terutamanya petroleum); jagung, kacang soya, gandum dan lain-lain.

- Perubahan cuaca dan bencana alam.

- Kegiatan manipulasi harga; dan g. Peningkatan kos pengeluaran yang lain (seperti kos buruh, kos alat ganti, kos pembungkusan dan lain-lain).

Selain itu, faktor kebergantungan negara terhadap bahan makanan yang diimport turut menyumbang kepada peningkatan kos penyediaan makanan.

Data daripada DOSM menunjukkan nilai import makanan negara semakin meningkat setiap tahun, iaitu RM63.7 bilion direkodkan pada 2021 berbanding RM55.5 bilion pada 2020.

Secara tidak langsung, keadaan ini juga menyebabkan negara amat terdedah kepada faktor-faktor global yang di luar kawalan seperti:

- Inflasi yang diimport iaitu inflasi yang berlaku di negara sumber.

- Perubahan polisi yang berlaku di negara sumber seperti sekatan eksport bawang oleh negara India berikutan banjir yang berlaku di negara tersebut dan syarat ketat yang dikenakan Amerika Syarikat dalam pengeluaran soya.

- Penyusutan bekalan komoditi di peringkat global berikutan cuaca kering yang berterusan, kemarau yang berpanjangan, wabak penyakit (Wabak Selesema Burung HPAI dan Wabak Demam Babi Afrika), simpanan stok global yang rendah, permintaan yang tinggi dari industri tertentu yang diburukkan lagi dengan prospek pengeluaran yang perlahan dan tidak menentu.

Makanan di luar rumah yang popular

No Image Caption



Terdapat 19 kelas perbelanjaan di bawah Subkumpulan Makanan di Luar.

Kelas perbelanjaan yang menyumbangkan wajaran yang tertinggi di bawah sub-kumpulan ini adalah:

- Nasi putih bersama lauk (2.0%).

- Semua sajian mee (1.5%).

- Ayam goreng (1.2%)

Ini bermaksud, nasi putih bersama lauk, semua sajian mi dan ayam goreng merupakan menu makanan yang popular dan sering menjadi pilihan pengguna apabila makan di luar.

Secara tidak langsung, sebarang perubahan harga bagi tiga kelas perbelanjaan ini akan memberi kesan terhadap inflasi subkumpulan Makanan di Luar.

Harga bagi kelas perbelanjaan nasi putih bersama lauk, semua sajian mi dan ayam goreng menunjukkan trend peningkatan bagi tempoh Januari 2016 hingga Jun 2022.

Peningkatan ini turut memberi kesan terhadap inflasi subkumpulan Makanan di Luar, inflasi kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Beralkohol serta inflasi keseluruhan.

Masa untuk kawal perbelanjaan

No Image Caption



Walaupun peningkatan perbelanjaan untuk makan di luar sering dikaitkan dengan peningkatan pendapatan, ia tidak semestinya merupakan perbelanjaan bagi barangan mewah. Pemahaman mengenai bagaimana peningkatan perbelanjaan bagi makanan di luar memberi kesan kepada gelagat pengguna bergantung kepada:

Sejauh mana perbelanjaan tersebut merupakan satu pilihan (sebagai contoh dibuat pada waktu petang, hujung minggu atau pada masa lapang) atau merupakan kewajipan (pada waktu bekerja).

Sejauh mana pengguna mempunyai alternatif atau pilihan tempat makan apabila makan di luar (sebagai contoh pilihan untuk makan di kafeteria yang telah diberi subsidi oleh majikan berbanding makan di restoran).

Melihat kepada trend makan di luar yang semakin popular dan sentiasa meningkat setiap tahun, advokasi pengguna mengenai amalan pemakanan dan gaya hidup yang sihat serta perancangan perbelanjaan yang bijak juga perlu diberi penekanan sewajarnya.

Walaupun makanan siap masak yang dijual di luar merupakan pilihan yang lebih popular dan memudahkan pengguna, ia boleh memberi kesan negatif dan memudaratkan kesihatan pengguna jika tidak dikawal.

Kajian telah membuktikan bahawa makanan di luar rumah lebih cenderung tidak berkhasiat. Kajian juga telah membuktikan peningkatan trend makanan di luar sering dikaitkan dengan masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

Kuasa pengguna mampu mengawal harga

Terdapat dua teori utama yang digunakan untuk menjelaskan inflasi iaitu ‘inflasi tolakan kos’ (cost-push inflation) atau inflasi yang bermula apabila kenaikan kos di peringkat pengeluaran menyebabkan kenaikan harga dan ‘inflasi tarikan permintaan’ (demand-pull inflation) iaitu kebolehan orang ramai berbelanja melebihi daripada ketersediaan barang dan perkhidmatan.

Namun, kapasiti dan tindakan kerajaan adalah terhad dan tidak akan dapat mencapai matlamat sepenuhnya sekiranya aspek ‘inflasi tarikan permintaan’ masih menyumbang kepada berlakunya kenaikan harga di pasaran. Dalam hal ini, peranan pengguna amat penting.

‘Inflasi tarikan permintaan’ boleh dikawal dengan memperbaiki gelagat pembelian dan menjadi pengguna yang bijak melalui langkah-langkah berikut:

No Image Caption



Peranan pengguna sebagai kuasa beli mampu mempengaruhi permintaan dan pengeluaran di peringkat pengeluar/pembekal yang dapat menentukan perubahan dalam harga barangan dan perkhidmatan di pasaran.

Ini kerana pengeluaran sesuatu barangan dan perkhidmatan bergantung kepada permintaan pengguna. Sekiranya pengguna boleh berbelanja dengan bijak, perubahan harga di pasaran dapat dikawal dan secara tidak langsung mampu mengawal situasi harga di pasaran.

*Sumber: BUNSEKI BAED