Perkhemahan di Batang Kali bukan anjuran sekolah - Fadhlina

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Aktiviti perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting-Goh Tong, Batang Kali bukan program anjuran rasmi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, Kuala Lumpur.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia berkemungkinan hanya aktiviti biasa melibatkan keluarga, guru dan rakan-rakan mereka sendiri.

"Ini bukan anjuran daripada sekolah ataupun kementerian. Tidak ada kaitan langsung. Maknanya, ini memang 'trip' (perkhemahan) mereka sendiri.



"Kita masih lagi dalam proses untuk dapatkan fakta yang tepat berhubung aktiviti mereka di tempat itu," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar pada Jumaat.

Fadhlina ketika dalam sidang media pada Rabu.
Fadhlina ketika dalam sidang media pada Rabu.



Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan gambaran keadaan keluarga dan waris mangsa di dalam Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh itu sebagai menyayat hati.

Menurutnya, pihak media perlu memberi ruang dan masa kepada mereka untuk menenangkan diri.

"Saya rasa saya pun masih dalam keadaan sedikit emosi melihat mereka.

"Saya percaya semua pihak sedang bekerja keras untuk membuat proses-proses yang sepatutnya termasuk usaha menyelamat masih lagi diteruskan manakala perubatan masih melakukan proses mengenalpasti.

"Sebab itu saya fikir ruang ini sangat penting untuk keluarga," ujarnya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan pihak bomba menganggarkan sekitar 100 mangsa dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father's Organic Farm, Batang Kali, di sini awal pagi Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, seramai 18 mangsa tanah runtuh telah disahkan meninggal dunia dan dibawa keluar dari lokasi runtuhan setakat jam 5.30 petang.

Ujar beliau, seramai 14 mangsa masih tertimbus dalam runtuhan berkenaan.

Menurutnya, kemalangan berkenaan melibatkan seramai 94 orang mangsa di mana 61 selamat manakala 18 telah disahkan meninggal dunia termasuk empat orang kanak-kanak.


Artikel Berkaitan: