'Harga sayur mahal sehingga Januari'

Bunyini memaklumkan sudah menjadi kebiasaan harga beberapa jenis sayuran berlaku kenaikan setiap kali musim tengkujuh.
Bunyini memaklumkan sudah menjadi kebiasaan harga beberapa jenis sayuran berlaku kenaikan setiap kali musim tengkujuh.
A
A
A

KUANTAN - Harga beberapa jenis sayuran di negeri ini dikesan mengalami kenaikan secara mendadak antara RM3 hingga RM10 tiga hari lalu berikutan musim tengkujuh.

Kebanyakan peniaga sayur ketika ditemui Sinar Harian memaklumkan, mereka terpaksa menaikkan sedikit harga selepas memperoleh bekalan dengan harga mahal daripada pemborong.

Mereka turut menjangka kenaikan harga tersebut berlarutan sehingga Januari tahun depan disebabkan kekurangan sumber itu daripada pembekal khususnya di kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands.

Tinjauan di Pasar Besar Kuantan dan Pasar Taman Tas mendapati sayuran seperti tomato, salad, daun bawang, daun sup, kubis bulat, cili, kacang panjang dan sawi paling ketara mengalami kenaikan harga.

Tomato dijual pada harga RM7.50 sekilogram (kg) berbanding hanya RM3 sebelum ini manakala daun sup dijual RM16 satu kg berbanding RM5, salad dan daun bawang pula naik antara RM12 hingga RM13 1kg berbanding sebelum ini sekitar RM5 hingga RM6 1kg.

Peniaga sayur, Norliana Razali, 46, berkata, harga sayuran itu mengalami kenaikan sejak tiga hari lalu selepas dimaklumkan oleh pemborong bahawa pembekal di Cameron Higlands bertindak menaikkan harga barangan keperluan terbabit.

Norliana memaklumkan harga tomato turut berlaku kenaikan pada musim tengkujuh ini.
Norliana memaklumkan harga tomato turut berlaku kenaikan pada musim tengkujuh ini.

Dia yang menjadi peniaga lebih 20 tahun mengakui kenaikan harga berlaku saban tahun terutamanya ketika musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah biasa alami situasi (kenaikan) ini membabitkan beberapa jenis sayuran, namun setakat ini bekalan sayur yang diperoleh masih lagi mencukupi, tetapi harga sayur terpaksa dijual sedikit mahal.

"Saya dan peniaga lain bukannya sesuka hati mahu menaikkan harga, tetapi kita menerima bekalan dengan harga yang tinggi daripada pembekal.

"Apabila musim tengkujuh harga sayur akan naik mendadak disebabkan sukar mendapatkan bekalan dan terpaksa mengambil bekalan daripada pembekal luar," katanya ketika ditemui di Pasar Taman Tas pada Jumaat.

Ibu kepada empat anak itu menjangkakan kenaikan harga itu terus berlaku selepas ini dan peniaga perlu bersedia untuk berdepan dengan keadaan tersebut

"Kita jangka harga sayuran ini akan terus meningkat dan mungkin sehingga hujung tahun ini atau Januari tahun depan, namun semua itu bergantung kepada keadaan cuaca," ujarnya.

Seorang lagi peniaga sayur, Bunyini Salamur, 52, memberitahu kenaikan harga sayuran disebabkan cuaca sekarang yang tidak menentu di negeri ini dan beberapa negeri lain.

Tambahnya, boleh dikatakan kebanyakan sayur mencatatkan kenaikan harga sejak tiga hari lalu.

"Daun sup mencatatkan kenaikan harga mendadak sehingga RM16 1kg berbanding sebelum ini tidak sampai RM8 1kg.

Salah seorang peniaga sayur sedang melayan pembeli yang sedang mendapatkan beberapa jenis sayuran.
Salah seorang peniaga sayur sedang melayan pembeli yang sedang mendapatkan beberapa jenis sayuran.

"Selain itu, tomato dijual dengan harga RM7.50 1kg berbanding RM3 1kg, manakala salad RM8 1kg naik RM5 dan cili pun naik daripada RM9 1kg kepada RM12," jelasnya.

Bunyini mengakui, kenaikan harga sayur memberi kesan sangat kepadanya apabila terpaksa mengurangkan jumlah jualan.

"Macam hari ini saya tidak ambil tomato dan beberapa jenis sayuran hijau lain sebab harganya terlampau mahal," katanya.

Sementara itu, peniaga sayur di Pasar Besar Kuantan, Yusaini Arif Abu Bakar, 45, berkata, trend kenaikan harga dijangka berterusan sehingga musim tengkujuh berakhir.

“Kenaikan sebegini sebenarnya sudah menjadi lumrah dalam kalangan peniaga setiap kali musim tengkujuh.

"Cuma kami perlu memberi penjelasan sebaiknya kepada pelanggan kenapa berlaku kenaikan sedemikian,” katanya yang menjadi penjual sayur hampir 10 tahun.