Ka Siong adakan pertemuan dengan Anwar

Pertemuan yang berlangsung selama 35 minit antara Anwar (kanan) dan Ka Siong (kiri) banyak menyentuh tentang isu-isu rakyat dan negara. - Foto: FB Wee Ka Siong
Pertemuan yang berlangsung selama 35 minit antara Anwar (kanan) dan Ka Siong (kiri) banyak menyentuh tentang isu-isu rakyat dan negara. - Foto: FB Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya pada Khamis.

Ka Siong memaklumkan, pertemuan yang berlangsung selama 35 minit itu banyak menyentuh tentang isu-isu rakyat dan negara.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, beliau turut mengutarakan isu-isu yang dihadapi oleh komuniti Cina dan bertukar pendapat dengan Perdana Menteri mengenai masalah inflasi kos sara hidup dan perkembangan politik terkini.

“Selain itu, turut dibincangkan cara menarik pelaburan asing terutamanya dari negara China yang mempunyai potensi besar untuk melabur di Malaysia, seterusnya dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Ka Siong bergambar bersama Anwar (tengah) dan Jeck Seng pada pertemuan dengan Perdana Menteri pada Khamis. -Foto: FB Wee Ka Siong
Ka Siong bergambar bersama Anwar (tengah) dan Jeck Seng pada pertemuan dengan Perdana Menteri pada Khamis. -Foto: FB Wee Ka Siong

Ka Siong pada masa sama turut merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Semoga kerajaan di bawah pimpinan PM10 akan terus maju, stabil dan pulih dalam era pasca pandemik,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, dalam sidang akhbar pertama selepas menjawat jawatan Perdana Menteri, Anwar memaklumkan satu usul undi percaya akan dibentangkan di dalam sidang Parlimen pada 19 Disember ini bagi menoktahkan persoalan mengenai keabsahan beliau selaku Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, menjelang usul undi percaya terhadap Anwar, dilaporkan satu upacara menandatangani perjanjian akan dimeterai pada Jumaat.

Beliau berkata, perjanjian itu melibatkan semua parti politik yang bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menyatakan keyakinan akan mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen menerusi usul undi percaya dalam sidang khas tersebut.

Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan komitmen yang diberikan oleh ketua parti di bawah Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).