Sinar Harian ungguli Anugerah Media Cetak Terbaik UMK

Dr Razli (tengah) menyampaikan anugerah kepada Hazelen Liana (kanan).
Dr Razli (tengah) menyampaikan anugerah kepada Hazelen Liana (kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - Sinar Harian mengungguli Anugerah Media Cetak Terbaik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tahun 2022 yang julung kali diadakan pada Malam Media UMK di sini, pada Selasa.

Anugerah disampaikan Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Razli Che Razak kepada Ketua Biro Sinar Harian, Hazelen Liana Kamarudin.

Datuk Dr Razli berkata, sumber dan kepakaran bidang-bidang utama di UMK boleh digunakan pihak media dalam menyebarkan maklumat berguna kepada masyarakat.

Pengamal media Kelantan adalah rakan strategik jangka masa panjang UMK.

“Pihak universiti mengiktiraf sumbangan media dalam membuat liputan berkaitan program dan isu-isu pendidikan tinggi serta pencapaian universiti sekali gus meningkatkan imej UMK,” katanya ketika berucap dalam majlis yang dihadiri lebih 30 wartawan, jurugambar dan juruhebah.

Turut hadir, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Majidah Ismail yang juga Penyelia Berita Ehwal Semasa RTM Kelantan.

Menurut Dr Razli, wartawan dan media massa adalah kumpulan yang berperanan besar dalam pembangunan negara dan memacu ke arah dunia lebih moden.

“Mereka secara langsung mampu menggoyahkan pemikiran pembaca malah kekuatan yang ada pada ketajaman penulisan dan idea yang diutarakan mampu mengarah mahupun menggugat kestabilan sesebuah negara.

Artikel Berkaitan:

“Bak kata pepatah, mata pena lebih tajam dari mata pedang,” katanya.

Hazelen Liana (kanan) bersama wartawan Sinar Harian Kelantan Adila Sharinni Wahid (kiri) yang menerima Anugerah Media Cetak Terbaik UMK tahun 2022 pada Selasa.
Hazelen Liana (kanan) bersama wartawan Sinar Harian Kelantan Adila Sharinni Wahid (kiri) yang menerima Anugerah Media Cetak Terbaik UMK tahun 2022 pada Selasa.

Anugerah Media Elektronik Terbaik dianugerahkan kepada Radio Malaysia Televisyen (RTM), Anugerah Liputan Terbaik (RTM), Anugerah Media Sosial Terbaik (Bernama), Anugerah Liputan Terbanyak (Harakah) dan Anugerah Foto Terbaik, (Media Prima).

Pemenang membawa pulang sijil dan baucar.