Lelaki terjun Sungai Kedah ditemui lemas

JBPM Kedah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Sungai Kedah pada Selasa. - Foto JBPM Kedah
JBPM Kedah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Sungai Kedah pada Selasa. - Foto JBPM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki yang terjun ke dalam Sungai Kedah ketika cuba melarikan diri daripada polis di Taman Limau Manis, Jalan Alor Mengkudu, di sini ditemukan lemas pada Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, mayat lelaki berusia 45 tahun itu ditemui pada jam 3.34 petang.

Menurutnya, mayat lelaki itu ditemui kira-kira 44 meter dari tebing sungai terbabit ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan.

"Sebelum itu, operasi SAR digerakkan selepas pihak kami menerima panggilan bantuan menyatakan terdapat dua mangsa lemas melalui MERS 999 pada jam 1.07 petang.

"Sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dikejarkan ke lokasi kejadian bersama beberapa jentera termasuklah aset bot,"katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sayani memaklumkan, seorang mangsa berjaya ditemui sedalam satu meter oleh anggota bomba menggunakan bot penyelamat dan peralatan 'graping iron.

Bagaimanapun, beliau menyatakan mangsa terbabit disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Seorang lagi mangsa berjaya diselamatkan dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Operasi tamat sepenuhnya selepas Pusat Kawalan Hadapan (PKH) Kampung Ganding ditutup jam 4.30 petang," tambahnya.