Tiada terima notis pemecatan parti - Amrizan

Armizan (duduk) menandatangani buku pelawat ketika lawatannya ke PPS SMK Seri Semantan pada Selasa.
Armizan (duduk) menandatangani buku pelawat ketika lawatannya ke PPS SMK Seri Semantan pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - "Setakat ini, saya masih tiada terima sebarang notis pemecatan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Sabah,Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar itu memberitahu penyertaan sebagai ahli dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilakukan sejak peringkat awal sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi selain terlibat dalam pasukan penggubalan perlembagaan parti tersebut.

"Bagi saya tiada isu lompat parti kerana saya ahli GRS yang sah, bertanding atas tiket GRS dan tidak ada mengumumkan bahawa keluar dari Bersatu melainkan Bersatu mengambil tindakan untuk memecat keahlian saya.

"Saya ada terdengar berita-berita begitu sebaik saya dilantik sebagai Menteri dalam Kerajaan Perpaduan, ada pimpinan Bersatu tertentu dalam forum-forum tertentu diberitakan meminta saya dipecat daripada ahli.

"Tapi buat masa ini, saya tiada terima sebarang notis pemecatan Bersatu, daripada peguam Bersatu pun tiada, bagi saya ia status quo," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung perkara terbabit selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan pada Selasa.

Dalam pada itu, Armizan berkata, pengundi di Papar memilih beliau pada PRU15 lalu atas nama Armizan Mohd Ali dan logo GRS.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan empat ahli Parlimen Sabah yang keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Bekas Ahli Parlimen Santubong itu berkata, ia kerana status mereka ketika ini adalah ahli GRS.