Suami isteri ditemui mati dalam bilik sewa

Kejadian berlaku di blik yang disewa di sebuah rumah di Jalan Pokok Machang, Tasek Gelugor pagi tadi.
Kejadian berlaku di blik yang disewa di sebuah rumah di Jalan Pokok Machang, Tasek Gelugor pagi tadi.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Sepasang suami isteri ditemui mati dalam bilik sewa mereka di sebuah rumah di Jalan Pokok Machang, di sini, pagi tadi.

Mayat pasangan itu ditemui oleh pemilik rumah tersebut kira-kira jam 9.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemilik rumah berkenaan telah mengetuk pintu bilik pasangan itu selepas mendapati motosikal mereka masih berada di hadapan kediaman tersebut.

Menurutnya, mayat wanita berusia 27 tahun itu ditemui di atas katil manakala suaminya yang berusia 31 tahun berada dalam keadaan tergantung pada alang rumah di bilik sewa mereka.

"Pemilik rumah berkenaan bertindak mengetuk pintu bilik pasangan itu selepas menyedari motosikal mereka masih berada di hadapan rumahnya. Sepatutnya pada waktu itu, pasangan itu telah keluar bekerja.

"Siasatan awal mendapati, wanita itu meninggal dunia dipercayai meminum racun," katanya kepada media di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati, pasangan itu mengalami masalah kewangan dan peribadi.

Sementara itu, pemilik rumah berkenaan, DM Nirmala, 30, berkata, pasangan yang tidak mempunyai anak itu telah menyewa di rumahnya sejak sebulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lelaki tersebut bekerja sebagai kelindan lori manakala isterinya bekerja sebagai operator kilang di kawasan berhampiran.

"Pagi tadi, dalam jam 9 pagi, saya baru balik dari tempat kerja. Saya hairan tengok motosikal mereka masih ada depan rumah. Biasanya pagi-pagi mereka dah pergi kerja.

"Saya rasa tak sedap hati, lepas tu ketuk pintu bilik tapi tak dibuka. Saya cuba buka dan tengok bilik tak berkunci. Saya nampak si isteri terbaring atas katil, suami dia pula tergantung pada alang," katanya.

Dia berkata, setelah mendapati kedua-duanya sudah tidak bernyawa, dia menghubungi polis untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut.

"Mereka berasal dari Perak. Adik lelaki itu yang berusia 21 tahun pun tinggal dengan mereka. Mereka tak ada anak walaupun dah lima tahun kahwin. Sebelum kejadian, mereka tak ada tunjukkan apa-apa perubahan pun.

"Cuma si isteri terlalu cemburu dan saya pernah terdengar mereka bertengkar pasal isu duit dan cemburu. Mereka juga pernah gaduh sebab si isteri tuduh suaminya ada hubungan dengan saya," katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, siasatan di tempat kejadian dan pada kedua-dua mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan masih dijalankan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat," katanya.