Lelaki dijel lima tahun miliki parang

Muhammad Zaini Jamaludin, 39, dipenjara lima tahun selepas mengaku memiliki sebilah parang
Muhammad Zaini Jamaludin, 39, dipenjara lima tahun selepas mengaku memiliki sebilah parang
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana memiliki sebilah parang tanpa kebenaran di tempat awam, dua tahun lalu.

Muhammad Zaini Jamaludin, 39, dari Kuala Berang, Hulu Terengganu, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas pertuduhan memiliki sebilah parang yang diselit di pinggang sebelah kirinya tanpa sebarang kebenaran sah di sisi undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi sebuah rumah di Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 3.30 petang pada 9 Julai 2017.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula daripada tarikh tangkap.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: