Pemandu treler tular ada rekod 10 saman trafik

Tangkap layar kejadian muatan treler dipercayai dibawa secara berlebihan terjatuh di selekoh Kilometer 69 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik yang mengakibatkan kemalangan beberapa kenderaan.
Tangkap layar kejadian muatan treler dipercayai dibawa secara berlebihan terjatuh di selekoh Kilometer 69 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik yang mengakibatkan kemalangan beberapa kenderaan.
A
A
A

IPOH - Pemandu treler yang tular membawa muatan berlebihan hingga mengakibatkan kemalangan maut di Kilometer 69 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik pada Oktober lalu mempunyai 10 rekod kesalahan trafik.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, saman ke atas lelaki berusia 47 tahun itu dikesan melibatkan pelbagai kesalahan sejak tahun 2012 hingga 2022.

"Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada hari sama kejadian ketika melalui sekatan jalan raya di Batu Melintang Jeli, Kelantan dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan siasatan, kemalangan itu berpunca daripada muatan siling putih yang dibawa treler berkenaan jatuh di atas jalan ketika melalui selekoh dan menimpa kenderaan dinaiki mangsa," katanya di sini pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 11 pagi, 29 Oktober itu telah menyebabkan seorang wanita berusia 31 tahun yang menaiki kerete jenis Subaru Forester cedera parah dan keguguran anak dalam kandungan berusia lapan bulan.

Dalam kejadian sama, pemandu kereta jenis Honda City cedera ringan manakala pemandu dan penumpang dua kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Yusri berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Kita juga masih menunggu laporan perubatan mangsa dari Hospital Tanah Merah, Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Kejadian itu tular di media sosial sejak Ahad selepas video berdurasi 15 saat memaparkan kejadian siling putih dibawa treler itu jatuh di atas jalan ketika melalui selekoh dimuat naik di laman Facebook.

Turut tular beberapa gambar dan luahan suami mangsa yang berang dengan tindakan cuai pemandu treler itu kerana menjadi punca kepada nahas yang mengorbankan bayi dalam kandungan isterinya.