Banjir: Dua pesakit strok redah banjir selamatkan diri

Suhaimi dibantu cucunya meredah air untuk mendaftar masuk ke PPS di Sekolah Kebangsaan Kubang Kual ekoran rumah mereka ditenggelam air hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu semasa tinjauan di Kampung Kubang Kual di sini. - Foto Bernama
Suhaimi dibantu cucunya meredah air untuk mendaftar masuk ke PPS di Sekolah Kebangsaan Kubang Kual ekoran rumah mereka ditenggelam air hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu semasa tinjauan di Kampung Kubang Kual di sini. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Dua pesakit strok dari Kampung Kubang Kual terpaksa melupakan kesakitan dialami semata-mata untuk meredah banjir demi keselamatan diri berikutan paras air mula naik di kawasan mereka.

Suhaimi Jaafar, 64, berkata, dia menggagahkan dirinya meredah banjir sejauh 100 meter (m) dari rumahnya untuk sampai ke bahu jalan raya walaupun berasa letih dan kepenatan.

"Hujan lebat berterusan sejak tiga hari lepas menyebabkan air mula naik secara mendadak awal pagi tadi, jadi saya terus minta bantuan anak dan cucu untuk pimpin saya redah banjir yang ketika itu masih lagi paras lutut.

"Bila redah banjir dalam keadaan kita kena strok, badan kita akan rasa menggigil sebab sejuk berada dalam air, tapi apa boleh buat mahu tidak mahu saya dan anak-anak perlu segera keluar dari rumah untuk selamatkan diri sebelum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Kubang Kual, di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ibrahim Mat Ya, 72, pula berkata, pada tahun ini sahaja sebanyak tiga kali dia terpaksa menetap di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual berikutan banjir.

"Selepas diserang angin ahmar sejak 13 tahun lepas, saya hanya mampu berjalan menggunakan tongkat dan apabila hendak redah banjir ia menambah lagi kesukaran untuk saya bergerak," katanya.

Mangsa banjir di PPS dipantau pasukan kesihatan

Dalam perkembangan lain, mangsa banjir yang berada di PPS di Kelantan akan dipantau secara lawatan oleh petugas pasukan kesihatan dari semasa ke semasa, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penempatan petugas kesihatan di PPS semasa musim tengkujuh adalah berdasarkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan termasuk ke lokasi tersebut.

"Bagi PPS yang kurang daripada 1,000 orang, kita tidak menyediakan pasukan statik sebaliknya ada pasukan perubatan secara lawatan.

"Setiap pasukan mempunyai antara 10 hingga 15 petugas yang mempunyai tanggungjawab menjaga kesihatan mangsa banjir di PPS," katanya.

Menurutnya di PPS pasukan perubatan JKNK akan merawat, memantau dan melakukan langkah pencegahan untuk mengelak sebarang penyakit berjangkit termasuk penyakit kulit dan selesema.

Dr Zaini berkata, ujian saringan Covid-19 turut dilakukan ke atas mangsa banjir yang berada di PPS bagi memastikan tiada sebarang jangkitan berlaku.

Beliau berkata, semua fasiliti kesihatan seperti hospital, logistik, bekalan ubat dan penugasan sumber manusia kini dalam keadaan bersedia menghadapi banjir di Kelantan. - Bernama