Andrew Chen dilantik Ketua Pembangkang DUN Johor

Andrew Chen (kiri) bersalaman dengan Chin Tong (kanan) selepas sidang akhbar pengumuman Ketua Pembangkang DUN Johor yang baharu oleh Salahuddin di Kota Iskanda, pada Ahad.
Andrew Chen (kiri) bersalaman dengan Chin Tong (kanan) selepas sidang akhbar pengumuman Ketua Pembangkang DUN Johor yang baharu oleh Salahuddin di Kota Iskanda, pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pakatan Harapan (PH) Johor melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng sebagai ketua pembangkang baharu menggantikan Liew Chin Tong.

Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pelantikan tersebut sudah dimaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi pada Ahad.

Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Simpang Jeram berkata, keputusan melantik Andrew Chen dibuat susulan Chin Tong telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Sabtu.

PH Johor berterima kasih atas khidmat terbaik diberikan, Chin Tong yang juga ADUN Perling dan Pengerusi DAP Johor sebagai Ketua Pembangkang DUN Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Kami yakin Andrew Chen yang merupakan ADUN Stulang selama tiga penggal sejak 2013 dapat meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang DUN Johor dengan lebih baik," katanya pada sidang akhbar selepas sidang DUN Johor di Kota Iskandar pada Ahad.

Pada PRN Johor, Mac lalu, BN mencatat kemenangan besar dengan memperolehi majoriti mudah apabila memenangi 40 kerusi DUN diikuti PH dan Muda sebanyak, 13 kerusi dan Perikatan Nasional (PN), 3 kerusi.

Dalam pada itu Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menggesa kerajaan negeri memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada Ketua Pembangkang DUN Johor memandangkan peranannya cukup penting dalam pentadbiran negeri.

"Kami mencadangkan supaya Ketua Pembangkang DUN Johor diberi peruntukkan dan sumner seperti mana yang diterima oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Johor.

Artikel Berkaitan:

"Cadangan ini selaras dengan iltizam PH Johor untuk memainkan peranan pembangkang yang konstruktif dalam usaha menjadikan Johor lebih baik untuk Bangsa Johor," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!