PM arah siasat aduan pelajar dakwa isu rasis di sekolah

Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat dakwaan seorang pelajar bahawa berlaku kes perkauman di sebuah sekolah.

Menurut Anwar, beliau menerima aduan daripada pelajar bernama Tejessh Kanakaraju yang mendakwa gurunya bersikap rasis selain dia turut dibuli rakan sebaya.

Ujarnya, pelajar itu menulis surat kepada beliau agar masalah berkenaan dapat segera diselesaikan.

“Terima kasih anakanda. Saya akan mohon KPM yang kini dikepalai Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk siasat dalam kadar segera,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Hantaran itu mendapat pelbagai respons daripada pengguna media sosial berkenaan.

Tangkap layar hantaran di Facebook Anwar, namun hantaran itu sudah dipadam.
Tangkap layar hantaran di Facebook Anwar, namun hantaran itu sudah dipadam.

Seorang pengguna Facebook bernama Saravanan Subramaniam menzahirkan rasa kagum terhadap Perdana Menteri yang masih sempat menjawab surat pelajar itu.

“Dengan kerja yang begitu banyak, Anwar masih sempat menjawab surat anak muda, awak memang terbaik,” jelasnya di ruangan komen.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemilik akaun bernama Nazri Yusof Aie memohon supaya isu perkauman dalam kalangan pelajar di sekolah rendah dan menengah ditangani dengan serius.

“Mohon Anwar ambil serius perkara membuli dan rasis dalam kalangan pelajar di peringkat rendah dan menengah supaya anak bangsa dapat belajar dengan baik demi negara Malaysia tercinta,” tambahnya.

Bagaimanapun, hantaran Facebook Anwar itu dipadam selepas beberapa minit kemudian.