Tiga warga asing ditahan terlibat kes eksploitasi seks

Mohamad Farouk
Mohamad Farouk
A
A
A

AMPANG - Seramai tiga individu termasuk dua wanita warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes eksploitasi seks di sebuah kondominium di Ampang Ukay di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan itu dilakukan susulan laporan daripada seorang wanita warga Tanzania yang mendakwa telah dikurung dan dipaksa untuk memberikan perkhidmatan seks pada Rabu.

"Wanita tersebut melarikan diri daripada rakan senegara kerana telah ditipu dengan janji tawaran pekerjaan di pusat kecantikan di Malaysia.

"Semasa melarikan diri, pengadu telah meninggalkan barang dan pasportnya yang masih berada dengan suspek," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Farouk berkata, wanita terbabit membuat laporan polis kerana mahu merujuk kepada pihak kedutaan untuk mendapatkan semula pasport dan pulang ke negara asal.

"Bertindak atas maklumat risikan, kita menahan seorang lelaki warga Nigeria dan dua wanita warga Tanzania berusia 28 hingga 37 tahun pada jam 12.45 tengah malam,Jumaat.

"Kita juga telah merampas telefon bimbit kesemua suspek, pemeriksaan mendapati terdapat gambar pengadu serta gambar pasportnya di dalam telefon bimbit salah seorang suspek," katanya.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati ketiga-tiga individu yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek dipercayai berada di Malaysia dengan menggunakan visa pelajar.

"Suspek lelaki memiliki pasport ketika ditahan manakala dua suspek wanita gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," ujarnya.

Beliau berkata, ujian saringan awal urin ke atas kesemua suspek mendapati hanya dua suspek wanita positif dadah.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," ujarnya.