41 ditahan terlibat judi bola sepak di KL

Antara suspek yang ditahan menerusi Op Soga IX di ibu negara. - Foto PDRM
Antara suspek yang ditahan menerusi Op Soga IX di ibu negara. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 41 individu disyaki terlibat judi bola sepak ditahan menerusi 24 serbuan berasingan di bawah Op Soga IX yang dijalankan di sekitar ibu negara, di sini bermula 19 November sehingga Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sepanjang tempoh berkenaan, jumlah rampasan wang tunai dan kredit pertaruhan lebih RM1.16 juta telah berjaya dirampas.

"Sehingga 8 Disember sebanyak 24 kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(e) (mempromosikan pertaruhan), Seksyen 6(1) (orang yang bertaruh) dan Seksyen 6(3) (memainkan peranan pengutip pertaruhan) Akta Pertaruhan 1953.

"Jumlah rampasan wang hasil pertaruhan adalah sebanyak RM 2,306 manakala, had kredit pertaruhan adalah sebanyak RM1.16 juta daripada rekod pertaruhan individu dan sindiket tertentu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azmi berkata, kesemua yang diberkas terdiri daripada 32 lelaki dan empat wanita tempatan manakala seramai enam lelaki dan seorang wanita warga asing turut ditahan.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 18 suspek terdiri daripada lelaki tempatan telah dituduh di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan polis.

"Polis Kuala Lumpur memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan kegiatan perjudian haram kerana tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang didapati terlibat.

"Sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline D7 Kuala Lumpur di talian 014-2697678," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: