Pembatalan projek tebatan banjir lengahkan usaha lindungi rakyat

Afif Bahardin
Afif Bahardin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pembatalan kelulusan kontrak projek tebatan banjir bernilai antara RM7 bilion sehingga RM15 bilion atas dakwaan ia dibuat secara rundingan terus menimbulkan banyak persoalan.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam, Dr Afif Bahardin berkata, terma kelulusan yang digunakan beliau tidak tepat kerana bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tidak pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana pihak untuk meneruskan projek tebatan banjir itu.

Justeru katanya, tidak wujud soal membatalkan kelulusan kerana belum ada dokumen hitam putih perundangan yang mengikat kerajaan dalam projek itu.

“Selain itu, pemahaman Anwar tentang projek tebatan banjir menerusi laporan akhbar juga sangat tidak meluas.

“Ia bukan sekadar soal pembinaan aspek fizikal tebatan banjir tetapi meliputi keseluruhan ekosistem pengurusan bencana yang perlu dibangunkan demi keselamatan rakyat.

“Ini termasuklah naik taraf sistem dan organisasi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta amaran banjir awal kepada pengguna, aspek paling mustahak dalam pengurusan bencana.

“MetMalaysia adalah agensi terpenting, ia bukan lagi agensi peramal kaji cuaca tetapi berperanan utama untuk memberi amaran bagi memulakan gerak kerja perlindungan dan pengurusan semua aspek dalam krisis perubahan cuaca dan iklim.

“Kerana itu, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada Ogos 2022, Tuan Ibrahim sudah mengumumkan peruntukan tambahan kepada MetMalaysia bagi memperkasa usaha mendepani isu perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya itu, pembatalan kelulusan dibuat Anwar bukan sahaja melengah-lengahkan usaha melindungi kebajikan rakyat dan negara, tetapi juga berniat jahat ke atas Perikatan Nasional (PN) yang didakwa tidak mematuhi prinsip ketelusan.

Beliau bagaimanapun yakin, perbincangan projek tebatan banjir sewaktu pemerintahan PN masih mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan, namun proses perbincangan dipercepat kerana isu perubahan iklim terutamanya banjir adalah isu yang sangat mendesak.

“Alasan Anwar yang minta fail itu tidak diteruskan, diteliti semula supaya ada prinsip ketelusan dan juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, dalam kata lain adalah untuk mendahulukan karenah birokrasi dalam isu yang menekan rakyat.

“PN yakin prinsip ketelusan pentadbiran tidak terjejas ketika kami memerintah, malah ia ditambah baik dengan pengurangan karenah birokrasi kerana Malaysia ketika itu dilanda pelbagai musibah.

“Soalnya sekarang, di bawah pentadbiran kerajaan campuran PH-BN, adakah kita akan kembali kepada proses bermesyuarat berpanjangan tanpa keputusan segera dalam isu mendesak sehingga menjejaskan kebajikan rakyat dan kemaslahatan negara?” soalnya.