Ronaldo nafi pindah ke kelab Arab Saudi

Cristiano Ronaldo -Foto EPA
Cristiano Ronaldo -Foto EPA
A
A
A

BEKAS bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo akhirnya bersuara mengenai laporan yang mengaitkan perpindahan ke kelab Arab Saudi, Al Nassr apabila menegaskan perkara tersebut tidak benar.

Pemain berusia 37 tahun itu meninggalkan The Old Trafford bulan lalu selepas hubungannya retak dengan pengendali kelab dan bertambah buruk apabila dia membuat beberapa kenyataan kontroversi dalam wawancara televisyen dengan Piers Morgan.

Sejak itu spekulasi tersebar mengenai kelab yang akan disertai Ronaldo, dengan penyerang tersebut merupakan ejen bebas kini menuju ke separuh kedua musim perpindahan pemain bola sepak dunia.

Laporan media sebelum ini mendakwa penyerang Portugal tersebut berada diambang mengikat kontrak dua setengah tahun dengan Al Nassr yang akan menyaksikan pemenang lima kali Ballon d'Or itu bakal menerima 173 juta pound (RM925 juta) semusim.