Muhyiddin masih belum terima realiti

Gambar dari kiri: Mohd Hairi, Shahrir
Gambar dari kiri: Mohd Hairi, Shahrir
A
A
A
JOHOR BAHRU - Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad menganggap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum menerima realiti apabila tidak dapat menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata, Muhyiddin sepatutnya mengisytiharkan secara terbuka mereka yang menyokong beliau menjadi Perdana Menteri.

"Sebab itu kena secara terbuka nyatakan siapa yang berada dalam kumpulan 42 ahli Parlimen yang memberi akuan bersumpah (statutory declaration atau SD) menyokong Tan Sri (Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri.

"Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun pun tidak mampu menolong apabila ketua-ketua parti yang memuktamadkan sokongan ahli-ahli parti masing-masing.



"Berkias macam manapun, kesudahannya tidak ada kepada PN (Perikatan Nasional). Setakat 73 ahli Parlimen tak cukup kuat," katanya dalam entri terbaharu di Facebook miliknya pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pemuda BN Johor, Mohd Hairi Mad Shah meminta Muhyiddin untuk 'move on' dan tidak menjadikan institusi Diraja Malaysia sebagai bahan politik murahan dan sendaan umum.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu akur titah Yang di-Pertuan Agong kerana melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan seterusnya membentuk Kerajaan Perpaduan.

Katanya, Muhyiddin tidak perlu mengaitkannya dengan memetik kata-kata kiasan 'bumbung hijau' atau 'bumbung kuning'.

"Saya menyaksikan video ceramah disampaikan Tan Sri Mahiaddin Yassin. Saya pun pelik kenapa beliau perlu mengaitkan dengan 'bumbung hijau' atau 'bumbung kuning'.

"Adakah Tan Sri Mahiaddin tidak boleh terima dan mahu menyalahkan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang telah menitahkan Datuk Seri Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri dan untuk membentuk kerajaan.
Artikel Berkaitan:


"Diharap Tan Sri Muhyiddin dah boleh 'move on' dan tidak menjaja isu ini serta menjadikannya sebagai modal politik murahan untuk menghasut dan menanam persepsi negatif kepada rakyat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Mohd Hairi mendesak agar Muhyiddin tidak terus berpolitik dengan menghasut dan menanam persepsi negatif kepada rakyat.

Sebelum itu, Muhyiddin dalam satu rakaman tular ketika berceramah mendakwa beliau telah mempunyai sokongan 115 ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri dan menubuhkan kerajaan Persekutuan.

"Bukan bumbung hijau ke, bumbung kuning ke, faham. Kena kias sikit. Kalau saya sudah ada 115 sokongan ahli Parlimen, tidak mungkin ada orang lain (dapat sokongan majoriti). PRU (Pilihan Raya Umum) penentunya siapa, kamu (rakyat), bukan pihak lain," kata beliau.