Aaron-Wooi Yik tekad beri aksi terbaik

Aaron-Wooi Yik menggalas cabaran Malaysia pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF. - Foto FB Badminton Association of Malaysia - BAM
Aaron-Wooi Yik menggalas cabaran Malaysia pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF. - Foto FB Badminton Association of Malaysia - BAM
A
A
A

JUARA dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik berharap dapat mengekalkan momentum kemenangan pada saingan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di sini.

Gandingan negara itu bakal berdepan musuh tradisi selepas diundi dalam kumpulan B bersama keenam dunia dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark dan wakil China Liu Yuchen-Ou Xuanyi.

Aaron-Wooi Yik yang kini menduduki ranking keempat dunia berkata mereka sudah bersiap sedia bagi menghadapi kejohanan yang berlangsung di Nimibutr Arena bermula 7 hingga 11 Disember ini, dan berharap dapat mencipta kejayaan pada akhir musim ini.

Bagaimanapun, Aaron ketika ditemui mengakui persaingan dalam beregu lelaki sentiasa sukar dan kompetitif.

"Ia bukan mudah. Kita akan sentiasa tenang dan lakukan yang terbaik pada kejohanan terakhir untuk tahun ini," katanya selepas majlis undian Jelajah Dunia Akhir di sini.

Bagi Wooi Yik pula, beliau berharap dapat mengekalkan prestasi mereka dalam setiap perlawanan pada kejohanan akhir musim itu nanti.

"Ia bukan tugas mudah bagi kami kerana semua beregu terbaik bertanding. Kami akan berjuang. Kami mahukan keputusan terbaik sebelum menamatkan 2022," katanya. Aaron-Wooi Yik gagal di peringkat kumpulan pada edisi 2019 dan 2020.

Pasangan profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula diundi dalam kumpulan A bersama juara bertahan dan nombor satu dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, diikuti ketiga dunia Fajar Alfian-Rian Ardianto dari Indonesia dan Choi So-gyu-Kim Won-ho (Korea Selatan).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, juara Terbuka Perancis Pearly Tan-M Thinaah berdepan saingan sengit apabila diundi dalam kumpulan B bersama gandingan utama dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dan ketujuh dunia Zhang Shuxian-Zheng Yu dari China serta gandingan Indonesia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Walaupun tidak menetapkan sebarang sasaran, Thinaah bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dihadapi.

Satu lagi pasangan profesional wanita negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula diundi dalam kumpulan A bersama dua wakil tuan rumah Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard dan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai serta Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan.

Bagi beregu campuran yang juga ke-11 dunia Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berharap dapat mengulangi kejayaan edisi 2020 dengan melangkah ke separuh akhir kejohanan edisi kali ini.

“Kami sudah bersedia dari segi fizikal dan mental. Kini, hanya bergantung kepada prestasi dalam gelanggang. Kami berharap dapat mengatasi lawan dengan lebih baik kali ini,” kata Shevon.

Soon Huat-Shevon diundi dalam kumpulan A bersama ketiga dunia Zheng Si Wei-Huang Ta Qiong dari China, ranking ke-10 Thim Gicquel-Delphine Delrue (Perancis) dan wakil Indonesia Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.

Satu lagi pasangan profesional campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula dijangka berdepan cabaran sukar selepas diundi dalam kumpulan B bersama juara bertahan yang juga wakil tuan rumah Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai serta Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dan juara Olimpik Tokyo 2020 Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping (China).

Saingan perseorangan lelaki pula menyaksikan juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark, H.S Prannoy (India), Kodai Naraoka (Jepun) dan Lu Guang Zu (China) diundi dalam kumpulan A, manakala keempat dunia Chou Tien Chen (Taiwan), Jonatan Christie dan Anthony Sinisuka Ginting (Indonesia) serta Loh Kean Yew (Singapura) diundi dalam kumpulan B.

Tiada wakil Malaysia dalam saingan perseorangan lelaki dan wanita pada Jelajah Akhir Dunia kali ini.

Perseorangan wanita pula menyaksikan pemain nombor dua dunia juga juara bertahan An Se Young dari Korea Selatan berada dalam kumpulan A bersama nombor satu dunia Akane Yamaguchi (Jepun), Chen Yu Fei (China) dan Gregoria Mariska Tunjung (Indonesia).

Sementara kumpulan B pula menyaksikan wakil Taiwan Tai Tzu Ying bakal berdepan lawan dari China, He Bing Jiao, wakil tuan rumah Ratchanok Intanon dan Busanan Ongbamrungphan.

Sebanyak 24 kejohanan kelayakan berlangsung seluruh dunia, dan hanya lapan pemain dan beregu terbaik layak ke jelajah dunia akhir dengan dua wakil perseorangan atau beregu dari setiap negara manakala juara dunia layak secara automatik.

Pemain bakal merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlan US$1.5 juta.- Bernama