Nafas baharu bola sepak wanita negara

Soleen mahu meningkatkan kualiti bola sepak wanita Malaysia ke tahap lebih tinggi. Foto FB FAM.
Soleen mahu meningkatkan kualiti bola sepak wanita Malaysia ke tahap lebih tinggi. Foto FB FAM.
A
A
A
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yakin dengan kehadiran Soleen Al-Zou'bi di dalam FAM, masa hadapan bola sepak wanita negara dapat diperhalusi serta diperbaiki.

Soleen yang memulakan tugas pada 1 Disember lalu di Wisma FAM, Kelana Jaya akan menjadi pengendali Malayan Tigress serta mengetuai Unit Bolasepak Wanita FAM.

Menurut Hamidin, pengalaman Soleen sebagai Ketua Unit Bola Sepak Wanita dan Penolong Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) berupaya untuk memberi nafas baharu kepada bola sepak wanita Malaysia.

“Dengan kehadiran Soleen, kita bukan sahaja dapat mengenalpasti wajah-wajah baharu dan berpotensi untuk mewakili negara selain memastikan Malayan Tigress mampu memberikan saingan di pentas antarabangsa.

“Pengalaman Soleen di JFA juga sudah tentu dapat memperbaiki pertandingan bola sepak wanita di peringkat nasional sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pemain-pemain bola sepak wanita untuk beraksi.

“Dengan pelantikan Soleen, besar harapan saya untuk melihat bola sepak wanita di Malaysia menjadi lebih berkualiti dan kompetitif seperti negara-negara Asia dan Eropah,” kata Hamidin.

Suraya (tengah) mempengerusikan mesyuarat mengenai hala tuju bola sepak wanita negara. Foto FB FAM
Suraya (tengah) mempengerusikan mesyuarat mengenai hala tuju bola sepak wanita negara. Foto FB FAM



Beliau berkata, satu mesyuarat telah diadakan di antara Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob serta Timbalan Pengerusinya, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dan Soleen di Wisma FAM pada Selasa di mana mereka telah membincangkan mengenai hala tuju bola sepak wanita di Malaysia dengan lebih mendalam.

Artikel Berkaitan:


Soleen yang juga Ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC sejak 2019 itu pernah menyarung jersi pasukan wanita kebangsaan Jordan serta beraksi untuk kelab-kelab bola sepak wanita di Jordan selama 14 tahun.

Dalam pada itu, menurut Soleen, aura bola sepak sejak tiba di bumi Kuala Lumpur dua minggu lalu telah memberikan beliau inspirasi untuk memperbaiki arena bola sepak wanita Malaysia.

“Untuk melahirkan pemain bola sepak wanita yang berkualiti tinggi, fokus utama saya adalah untuk mengenalpasti serta memperbaiki liga bola sepak wanita di Malaysia dan memberikan peluang untuk bermain kepada pemain-pemain.

“Selain itu, kami mahu mewujudkan laluan pemain yang komprehensif bermula dari akar umbi sehingga ke peringkat elit di mana ia akan membabitkan jurulatih, pengadil dan pegawai tadbir yang terdiri daripada kaum wanita,” kata Soleen.