KDA FC ikat Nafuzi dua tahun

Mohd Nafuzi Mohd Zain
Mohd Nafuzi Mohd Zain
A
A
A

ALOR SETAR - Mohd Nafuzi Mohd Zain diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang baharu dengan kontrak selama dua tahun bermula musim 2023.

Pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, pengalaman dan prestasi cemerlang dimiliki Mohd Nafuzi dalam membina pasukan bola sepak ‘from bottom to top’ diharap dapat dibawa ke dalam skuad Sang Kenari pula.

Menurutnya, kelab tersebut memberikan sepenuh kepercayaan kepada ketua jurulatih itu memilih barisan pemain dan mencari bakat-bakat baharu yang boleh diserap masuk ke dalam pasukan.

"Saya minta peminat KDA FC supaya beri masa kepada Mohd Nafuzi untuk membina dan membangunkan pasukan yang gah, disegani dan dihormati.

“Saya juga ingin memaklumkan jumlah keseluruhan pemain untuk musim hadapan adalah seramai 25 orang dan nama-nama mereka hanya akan diumumkan nanti. Seramai 17 pemain bagi musim 2022 tidak ditawarkan kontrak baharu untuk musim hadapan,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pelantikan Ketua Jurulatih Baharu musim 2023 di antara Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali dan Mohd Nafuzi.

Mohd Nafuzi dan Mohd Daud bergambar bersama peminat Sang Kenari di House Of The Kenari di Alor Setar pada Selasa.
Mohd Nafuzi dan Mohd Daud bergambar bersama peminat Sang Kenari di House Of The Kenari di Alor Setar pada Selasa.

Terdahulu, Mohd Daud juga menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara KDA FC yang diwakili Khamal Idris dan Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) yang diwakili Pengerusinya, Muhammad Edi Soffi Ramli dalam aspek perniagaan bagi menjana pendapatan dan menyumbang kepada pendanaan operasi kelab tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Nafuzi berkata, bukan mudah untuk dirinya yang pernah menyarung jersi Hijau Kuning pada musim 2006-2007 mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan tersebut.

Beliau mengakui tidak sabar dan teruja untuk kembali berada di bumi Jelapang Padi dan berjanji memberikan yang terbaik untuk kejayaan pasukan.

“Perancangan saya adalah untuk mengembangkan lagi bakat pemain anak jati Kedah itu sendiri kerana sedia maklum Kedah mempunyai barisan pemain lama dan baharu yang cukup bagus dan digeruni.

"Bagi barisan pemain untuk musim depan pula, saya akan membuat pemilihan dengan mengambil kira aspek-aspek penting bagi memastikan pasukan Kedah pada musim hadapan lebih mantap,” ujar Mohd Nafuzi.