Kanser prostat pembunuh senyap lelaki

Dua daripada tiga lelaki berusia 65 tahun ke atas berisiko menghidapinya

A
A
A

Pesakit akan menghidapi masalah kesukaran untuk membuang air kecil, berasa sakit, air kencing dan air mani berdarah.
Pesakit akan menghidapi masalah kesukaran untuk membuang air kecil, berasa sakit, air kencing dan air mani berdarah.

Berbicara perihal kesihatan lelaki, antara perkara yang perlu mereka ambil perhatian adalah berkenaan organ prostat yang memainkan peranan paling penting dalam sistem pembiakan.

Namun, prostat terdedah kepada risiko kanser dan menjadi pembunuh nombor satu lelaki.

Statistik yang dikongsikan oleh American Cancer Society (ACS) mendapati, kira-kira 164,690 lelaki dilaporkan menghidapi kanser prostat pada tahun 2018.

Laman perubatan itu turut menjelaskan, dua daripada tiga lelaki berusia 65 tahun ke atas akan mengalami kanser berkenaan.

ACS juga memaklumkan, kanser prostat menjadi penyumbang kedua terbesar kematian di dunia selepas kanser paru-paru.

Gejala sakit pada bahagian tulang belakang juga merupakan petanda kepada kanser prostat.
Gejala sakit pada bahagian tulang belakang juga merupakan petanda kepada kanser prostat.

Artikel Berkaitan:

Bagi mendapatkan penjelasan tentang masalah kesihatan itu, SinarPlus telah menemubual Pakar Urologi Klinikal Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Yeoh Wei Sien.

Menurut Dr Yeoh, kanser prostat merupakan barah ketiga paling banyak berlaku dalam kalangan lelaki di Malaysia dengan anggaran seorang daripada 117 lelaki berisiko untuk menghidapinya dan kebanyakan pesakit adalah kaum Cina berusia sekitar 70 tahun.

Lebih mengejutkan, sebanyak 58 peratus pesakit telah didiagnosis menghidap kanser tahap 4 kerana lewat mendapatkan konsultasi daripada pakar perubatan.

Sel bermutasi

Jelas Dr Yeoh, kanser prostat terjadi apabila ia mengalami mutasi dan bertukar menjadi sel kanser. Keadaan itu menyebabkan pertumbuhan sel kanser yang tidak terkawal dan teratur hingga menyebabkan kelenjar prostat mengalami perkembangan yang tidak terkawal.

“Apabila masalah itu terjadi, pesakit akan mengalami gejala seperti sukar untuk kencing kerana terdapat halangan pada salur perkumuhan, pendarahan dalam air kencing atau air mani.

DR YEOH WEI SIEN
DR YEOH WEI SIEN

“Sekiranya kes berada pada tahap berbahaya, berkemungkinan sel kanser berupaya untuk merebak pada bahagian tubuh badan yang lain selain kelenjar prostat,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa kesakitan pada bahagian tulang belakang juga merupakan petanda kepada kanser prostat.

“Namun begitu, jika seseorang mengalami gejala itu, ia tidak bermakna mereka menghidap barah. Sebaliknya, mereka disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor dan lakukan pemeriksaan kesihatan lebih lanjut,” ungkapnya.

Menurut Dr Yeoh, sesiapa sahaja boleh menghidap kanser, namun seseorang yang memiliki faktor risiko tertentu, kebarangkalian untuk mereka menghidapinya adalah lebih tinggi, antaranya:

i) Usia yang semakin meningkat.

ii) Memiliki keturunan yang mempunyai sejarah kanser.

iii) Mengamalkan pemakanan seperti makan daging merah.

Gabungan rawatan

DR MARNIZA SAAD
DR MARNIZA SAAD



Untuk mendapatkan penjelasan berkaitan rawatan, Pakar Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Marniza Saad berkata, terdapat tiga jenis kaedah yang diguna pakai antaranya pembedahan, radioterapi dan rawatan sistemik (kemoterapi, terapi bersasar atau terapi imun).

Jelasnya, jika kanser masih berada pada peringkat awal (tidak merebak dan masih tertumpu pada bahagian asal) kaedah pembedahan akan diguna pakai, manakala ketiga-tiga kaedah rawatan boleh digabungkan sekali mengikut keadaan tertentu.

“Kombinasi kesemua rawatan boleh dilakukan sama ada sebelum atau selepas pembedahan. Ia bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan dan merendahkan risiko kanser berulang selepas proses pembedahan.

“Sekiranya kanser telah merebak, pakar akan menggunakan kaedah rawatan sistemik kerana ia berupaya menyerang sel-sel kanser pada seluruh badan berbanding pembedahan dan radioterapi yang hanya tertumpu pada bahagian tertentu sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Marniza menasihatkan orang ramai untuk segera bertindak sekiranya mengalami gejala-gejala awal kanser.

“Barah boleh sembuh sekiranya dikesan dan dirawat pada peringkat awal. Jika lewat dirawat, kanser boleh merebak ke bahagian sekitar dan menyerang organ lain melalui saluran limfa dan darah.

“Jika keadaan itu berlaku, pesakit akan mengalami gangguan fungsi normal organ, bagaimanapun ia bergantung kepada bahagian yang terlibat,” jelasnya.

Kaedah perawatan yang digunakan adalah secara pembedahan, radioterapi dan rawatan sistemik, yang merangkumi kaedah kemoterapi, terapi imun dan terapi bersasar).
Kaedah perawatan yang digunakan adalah secara pembedahan, radioterapi dan rawatan sistemik, yang merangkumi kaedah kemoterapi, terapi imun dan terapi bersasar).

Dr Marniza turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa mengambil makanan yang sihat bagi mengurangkan risiko.

Pemeriksaan awal juga amat disarankan untuk mengenal pasti peringkat kanser dan membolehkan rawatan yang sesuai diberikan untuk mencapai kadar kesembuhan yang tinggi.

Kanser prostat

i) Hanya berlaku kepada golongan lelaki yang berusia

Semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko untuk menghidap kanser prostat.

Lelaki muda juga berisiko terutama mereka yang memiliki sejarah keluarga yang menghidapi kanser.

ii) Menyebabkan lelaki mengalami mati pucuk

Pesakit bimbang kesan daripada rawatan akan menyebabkan mereka mati pucuk.

Kebanyakan pesakit yang mengalami masalah mati pucuk, akhirnya boleh sembuh semula bergantung kepada rawatan yang diambil.

* Sumber Renal & Urology News