Anggota kabinet tumpu kukuh kestabilan, bantu rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di sini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di sini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Biarpun berbeza latar belakang politik, anggota kabinet Kerajaan Perpaduan bersedia menumpukan usaha memastikan kestabilan negara dan membantu rakyat yang kini terkesan akibat kenaikan kos sara hidup.

Memulakan tugas secara rasmi di kementerian masing-masing, beberapa menteri sudah menyatakan peranan dan tumpuan mereka, sebagai sebahagian peneraju dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang berpendapat, penubuhan Kerajaan Perpaduan itu merupakan penyelesaian terbaik, demi kestabilan politik disaat negara menghadapi pengalaman baharu situasi parlimen tergantung, selepas pilihan raya umum.

Beliau berkata, penubuhan kerajaan itu juga merupakan manifestasi rakyat, yang mahukan kerajaan yang stabil di samping mahukan barisan kabinet yang kukuh.

"Saya rasa ini kerajaan yang stabil kerana ini aspirasi rakyat, rakyat sudah letih dengan keadaan politik yang tidak stabil,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Kerajaan Perpaduan yang merupakan gabungan parti politik tanah air, perlu bersatu padu dalam satu pasukan bagi memberikan perkhidmatan kepada stakeholders dan rakyat.

Sebagai rakan pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan, Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) itu berkata, sudah tentu beliau mempunyai hala tuju, syor-syor baharu yang selaras dengan aspirasi rakyat.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan harus berhemah dan berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan, terutamanya dalam memenuhi manifesto gabungan masing-masing agar tidak menganggu-gugat kestabilannya.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang masih di hari-hari awal lagi, jadi kita perlu berhati-hari mengenainya,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata kerajaan perlu menggembleng usaha terhadap menyelesaikan isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, ekonomi dan gaji minimum, yang menjadi persamaan dalam manifesto masing-masing.

"Tidak begitu besar jurang (manifesto) antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), BN dan PH. Kita perlu fokus mengenai persamaan dan berbincang dengan lebih mendalam mengenai perkara yang berbeza. Saya fikir ini akan menjadi satu langkah positif untuk negara kita,” katanya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk menunjukkan komitmen setiap anggota Kabinet membantu rakyat tanpa memikirkan soal politik.

"Di Kementerian Kerja Raya, apa yang penting ialah fokus kepada pembangunan infrastruktur dan mana yang telah diusahakan sebaiknya di kementerian ini sebelum ini, akan kita teruskan, cuma saya akan melihat ruang serta peluang penambahbaikan,” katanya yang juga Setiausaha Agung GPS. - Bernama