Agong, Raja Permaisuri seru rakyat teladani Adnan Yaakob

Ucapan tahniah dari Agong dan Raja Permaisuri Agong yang dimuat naik di Facebook Istana Negara pada Isnin.
Ucapan tahniah dari Agong dan Raja Permaisuri Agong yang dimuat naik di Facebook Istana Negara pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyeru rakyat meneladani bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob yang berjaya menggenggam segulung ijazah pada usia 72 tahun.

Istana Negara menerusi hantaran di Facebook berkata, Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan kejayaan Adnan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk mencapai kejayaan cemerlang.

"Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berdua menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Adnan yang berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah.

"Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan beliau yang sekali gus membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk mencapai kejayaan cemerlang," katanya pada Isnin.

Seri Paduka Baginda berdua bertitah, kejayaan yang diraih Adnan juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, seseorang mampu bersaing dan berjaya.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Tan Sri Adnan Yaakob dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” ujarnya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, minat pada ilmu pengetahuan menjadi pendorong utama kepada Adnan sehingga berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada Istiadat Konvokesyen UIAM ke-38.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu menerima skrol ijazahnya daripada Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan muncul sebagai salah seorang pelajar terbaik program pada usia 72 tahun.

Artikel Berkaitan:

Adnan pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018 sekali gus muncul sebagai bekas menteri besar negeri itu yang paling lama berkhidmat iaitu selama 19 tahun sebelum melepaskan jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.