Ahmad Fadhli sindir cadangan Pemuda Amanah Terengganu

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu supaya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Ketua Pembangkang bertaraf menteri mendapat respons daripada Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari.

Dalam satu hantaran ringkas di Facebooknya pada Isnin, Ahli Parlimen Pasir Mas itu itu berkata, meskipun cadangan itu dilihat baik, namun perkara berkenaan seharusnya diserahkan kepada gabungan itu untuk memutuskannya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas pada masa sama secara sinis turut menyindir sayap pemuda Amanah negeri itu dan meminta agar terlebih dahulu melantik Ketua Pembangkang bagi mewakili parti berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

“Cantik dah cadangan ini (Abdul Hadi sebagai Ketua Pembangkang), tapi serahkan sahaja kepada pihak kami untuk memutuskannya.

“Di sebelah tuan, usahakan biar ada Ketua Pembangkang dari parti tuan di DUN Terengganu dulu, atau sekurang-kurangnya tidak hilang deposit,” katanya pada Isnin.

Dalam PRU14, PH yang turut dianggotai Amanah dan bertanding menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal memenangi sebarang kerusi DUN di Terengganu yang dikuasai oleh Pas dengan 22 kerusi dan BN (10 kerusi).

Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Zamir Ghazali pada Ahad berkata, pelantikan Abdul Hadi ke jawatan berkenaan itu dilihat wajar memandangkan Pas memenangi kerusi Parlimen paling banyak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pada PRU baru-baru ini, Pas memenangi 49 kerusi Parlimen sekali gus menjadikan ia sebagai parti paling banyak memiliki kerusi di Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Ahad berkata, keputusan pemilihan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat masih belum diputuskan.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) menjangkakan jawatan itu akan disandang oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada PRU15, PN yang terdiri antaranya daripada Bersatu dan Pas berjaya memenangi 73 kerusi, iaitu blok gabungan kedua terbesar selepas Pakatan Harapan (PH) yang merangkul 82 kerusi.

Bagaimanapun, PH berjaya mengatasi PN untuk membentuk kerajaan melepasi 112 kerusi melalui kerjasama dengan antaranya BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).