Nik Nazmi tumpu empat isu utama termasuk banjir

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (kiri) bersama bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik semasa pelancaran Naskhah Buku Anak Malaysia. - Foto Bernama.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (kiri) bersama bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik semasa pelancaran Naskhah Buku Anak Malaysia. - Foto Bernama.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan memberi fokus kepada isu banjir, guna tenaga, perubahan iklim dan penjagaan alam sekitar, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, empat perkara utama itu adalah dalam portfolio terbaharunya sebagai menteri selain ia adalah isu yang menjadi tumpuan rakyat.

"Ini satu tanggungjawab yang sangat besar, cabaran yang berkaitan isu pada hari ini, contohnya isu perubahan iklim, banjir dan tenaga. Saya tahu ia juga perkara yang anak-anak muda sangat prihatin.

"Saya akan cuba tengok isu-isu yang menjadi keutamaan dan apa kerajaan dapat lakukan untuk memantapkan kesiapsiagaan kita semua. Kita tidak hanya bercakap untuk melawan perubahan iklim, tapi kita juga perlu menyesuaikan diri kepada perubahan iklim dan cuba sedaya upaya sebelum ia menjadi lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran bukunya, ‘Anak Malaysia: Sebuah Perjalanan Politik Progresif’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada Ahad.

Nik Nazmi berkata, esok beliau akan mendengar taklimat daripada pengurusan tertinggi dan mempertimbangkan keutamaan yang perlu dilakukan oleh kementeriannya.

"Saya akan masuk ke pejabat di Wisma Sumber Asli, Putrajaya pada jam 8 pagi esok dan mendengar taklimat daripada pengurusan tertinggi kementerian.

"Kami juga ada mesyuarat kabinet khas untuk dapatkan panduan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya akan lihat untuk umum apa-apa tentang rancangan," kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

Terdahulu, buku ‘Anak Malaysia: Sebuah Perjalanan Politik Progresif’ yang berkisarkan mengenai kisah hidup Nik Nazmi dan refleksinya tentang politik Malaysia dilancarkan oleh bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. - Bernama

Artikel Berkaitan: