Mayat lelaki ditemui di Sungai Perak

Anggota bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Perak untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut. Foto: ihsan JBPM Perak.
Anggota bomba mengangkat mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Perak untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut. Foto: ihsan JBPM Perak.
A
A
A

TELUK INTAN - Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di Sungai Perak berhampiran Permatang Pelanduk Labu Kubong di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, maklumat awal diterima sekitar jam 2 petang apabila mayat tersebut ditemui dalam keadaan tertiarap dan tersangkut pada rumput di tebing sungai.

"Pihak bomba membantu membawa naik mayat tersebut dan keadaan mayat yang kembung menyukarkan pengecaman dilakukan.

"Pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, pihaknya percaya mangsa merupakan warga tempatan berdasarkan parut suntikan Bacille Calmette Guerin (BCG) di lengan kirinya.

"Mangsa dianggarkan berusia 40-an, berkulit gelap dengan tubuh sederhana besar dan tinggi dianggarkan 170 sentimeter (cm).

"Mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau rakan diminta tampil membantu siasatan dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Al Ikhsan Borhan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di talian 05-6233969.

Artikel Berkaitan: