Lelaki maut serangan jantung ketika daki bukit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Niat seorang lelaki beriadah bersama rakannya bertukar tragedi apabila dia mengalami serangan jantung di Bukit Sri Bintang, Jalan 11/36, Desa Park City, di sini pada petang Sabtu.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) memaklumkan, sebuah jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba Sri Hartamas dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 5.33 petang.

"Pemanggil memaklumkan kawannya mengalami serangan jantung semasa melakukan aktiviti mendaki dan mohon bantuan pihak bomba untuk membawa turun mangsa kerana tidak sedarkan diri.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada jam 5.58 petang mendapati benar terdapat seorang mangsa lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dan anggota bertindak melakukan bantuan pernafasan (CPR)," menurut kenyataan pada Sabtu.

PGOKL berkata, mangsa berusia 49 tahun disahkan mati oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.

"Anggota membawa turun mayat mangsa ke kawasan parkir kenderaan dengan menggunakan pengunsung dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: