Tarik diri di Padang Serai, Sivaraj akur keputusan parti

Sivaraj
Sivaraj
A
A
A

KULIM - Calon Barisan Nasional (BN) Padang Serai, Datuk C Sivaraj akur dengan keputusan pimpinan parti yang mahukannya mengundur diri bagi memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bersaing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Menurutnya, tiada kepentingan lebih utama daripada ketetapan yang telah dibuat oleh parti meskipun beliau telah tiga tahun bekerja dan memberi harapan kepada ribuan warga Padang Serai selama ini.

Jelas beliau, kehadirannya di sini diterima baik oleh semua lapisan masyarakat malah sentiasa mendapat sokongan serta nasihat untuk terus berkhidmat.

"Selama saya di sini, kaum ibu sentiasa melayan seolah-olah saya anak mereka sendiri, kakak dan abang tidak pernah leka untuk memberi nasihat dan bimbingan bila perlu malah adik-adik di Padang Serai sentiasa memberi sokongan.

"Mereka ini yang menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus cuba untuk berkhidmat dengan sebaik mungkin selama ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mengambil kira keadaan itu, Sivaraj berkata beliau mahu meneruskan khidmatnya untuk rakyat di sini walaupun menyedari tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah besar yang dihadapi mereka.

Katanya, beliau percaya dengan sedikit kebolehan dan kemampuan yang ada akan dapat membantu menyelesaikan masalah asas di kalangan masyarakat di sini.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan dapat memberi perhatian sewajarnya mengenai isu-isu yang diketengahkan melalui manifestonya sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Lima tekad kami untuk Padang Serai perlu diberi perhatian yang sewajarnya kerana Parlimen Padang Serai jauh ketinggalan dalam segenap aspek.

"Tidak adil untuk rakyat Padang Serai terus diabaikan tanpa pembelaan yang sepatutnya diterima oleh mereka," katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan BN memberi laluan kepada calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak bagi menghadapi saingan lain di Parlimen Padang Serai dalam PRU15 kali ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ceramah pengumuman khas yang diadakan di Taman Desa Aman, Padang Meiha di sini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH di peringkat nasional.

"Dengan persahabatan baharu di peringkat persekutuan, gabungan Kerajaan Perpaduan ini akan menyokong calon PH memenangi kerusi Padang Serai pada 7 Disember nanti," katanya.