Anwar kembali terajui Kementerian Kewangan

 Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengumumkan bahawa beliau juga akan memegang portfolio jawatan Menteri Kewangan dalam kabinet baharu Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, Anwar, 75, pernah memegang portfolio sebagai menteri kewangan selama lapan tahun -- dari 1991 hingga 1998 - di bawah pentadbiran perdana menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sepanjang tempoh tersebut, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pernah dinamakan sebagai Menteri Kewangan Terbaik oleh Asiamoney pada 1996, manakala Euromoney menamakan beliau sebagai antara empat menteri kewangan terbaik.

Bermula sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1982, Anwar kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983, Menteri Pertanian pada 1984, Menteri Pendidikan pada 1986 dan Menteri Kewangan pada 1991.

Semasa Krisis Kewangan Asia pada 1997, Anwar menyokong prinsip pasaran bebas dan mengetengahkan isu-isu berkaitan hubungan perniagaan dan politik di Malaysia.

Perdana Menteri juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa pada 1998 selama dua tahun dan amat menyokong inisiatif pembatalan hutang bagi negara miskin, terutamanya negara-negara di benua Afrika.

Pengumuman barisan kabinet oleh Perdana Menteri itu yang diadakan di Putrajaya disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan dan platform media sosial.

Pembentukan kabinet itu adalah susulan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada minggu lepas untuk menerajui kerajaan perpaduan dianggotai PH yang memenangi 82 kerusi, Barisan Nasional (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam) dan lain-lain parti.

Artikel Berkaitan:

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 November lepas.

Beliau yang dilahirkan pada 10 Oktober 1947, di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Cherok Tok Kun dan Sekolah Kebangsaan Stowell.

Sementara itu, beberapa penasihat akan membantu dalam urusan Kementerian Kewangan yang diketuai Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

"Urusan Kementerian Kewangan akan dibantu oleh beberapa penasihat yang tidak akan mengambil upah yang diketuai oleh Penasihat Petronas, Tan Sri Dr Mohd Hassan Marican,” kata Anwar semasa pengumuman barisan kabinet tersebut.

Mohd Hassan, 70, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah, itu adalah bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas serta merupakan salah seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir dan ahli lembaga Khazanah Nasional Bhd.

Beliau merupakan pemegang ijazah kedoktoran kehormat daripada Universiti Malaya dan Felo Institute of Chartered Accountants in England and Wales. - Bernama