Sudah derma darah 356 kali sejak 1988

Kien Seng sudah menderma darah sebanyak 356 kali sejak tahun 1988.
Kien Seng sudah menderma darah sebanyak 356 kali sejak tahun 1988.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang warga emas menjadi antara individu yang aktif menderma darah apabila sudah berbuat demikian sebanyak 356 kali.

Pusat Darah Negara (PDN) dalam kenyataan di Facebook memberitahu, ia juga merupakan pendermaan darah kali terakhir Lum Kien Seng yang akan mencapai usia 70 tahun.

Menurut kenyataan tersebut, Kien Seng mula menderma darah secara konsisten bermula tahun 1988 dan menjadi penderma aferesis sejak 2000 sehingga sekarang.

"Untuk berbuat demikian, dia sentiasa mementingkan penjagaan kesihatan bagi memastikan layak dan kekal sihat untuk menderma darah.

"Semoga pendermaan darah terakhir dan sambutan hari lahir yang ke-70 ini menjadi memori indah Kien Seng sekali gus memberi inspirasi kepada generasi muda untuk kekal sihat serta menjadi adiwira darah sehingga ke usia emas," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Kien Seng (tengah) menyambut hari lahir yang ke-70 bersama warga kerja Pusat Darah Negara (PDN) di PDN, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Kien Seng (tengah) menyambut hari lahir yang ke-70 bersama warga kerja Pusat Darah Negara (PDN) di PDN, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Tambah kenyataan tersebut, warga kerja PDN merakamkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Kien Seng di atas pengorbanannya dalam menjalankan tanggungjawab sosial tanpa mengharapkan balasan.

"Kami sangat berbesar hati untuk meraikan hari bersejarah ini bersama Kien Seng yang akan memasuki usia 70 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Semoga diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa bahagia atas segala amalan baik yang telah anda lakukan," menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Kien Seng mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga kerja PDN kerana meraikan hari terakhir pendermaan aferesisnya.

"Kepada mereka saya mengucapkan jutaan terima kasih. Salah dan silap bahasa, saya memohon ampun dan maaf," ujarnya.