Insiden tembakan: Pekerja saman pasar raya AS$50 juta

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
ANKARA - Seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian tembakan beramai-ramai di sebuah pasar raya Walmart di Virginia AS minggu lepas, menyaman syarikat itu, lapor Anadolu Agency.

Donya Prioleau yang memfailkan tuntutan AS$50 juta pada Selasa di mahkamah Virginia mendakwa beliau dan pekerja lain telah memberi amaran kepada pengurusan Walmart mengenai penyerang, namun tiada tindakan diambil.

Prioleau berkata, beliau bertugas sebagai penjaga stok di sebelah malam bersama Andre Bing, lelaki yang dituduh membunuh enam rakan sekerja pada 22 November apabila melepaskan tembakan di bilik rehat Walmart di Chesapeake sebelum membunuh dirinya sendiri.

Dalam tuntutannya Prioleau mendakwa mengalami kecelaruan stres pasca trauma termasuk tekanan fizikal dan emosi akibat menyaksikan kejadian itu.

Beliau turut menyenaraikan tanda-tanda membimbangkan pada penyerang yang didakwa Prioleau gagal ditangani oleh pengurusnya.

Walmart yang beribu pejabat di Bentonville, Arkansas, dalam satu kenyataan menyebut syarikat itu sedang menyemak aduan dan akan bertindak balas "mengikut kesesuaian dengan mahkamah."

"Seluruh keluarga Walmart sedih dengan kehilangan ahli pasukan yang dihargai," kata syarikat itu.

"Simpati kami kepada rakan sekerja dan semua orang yang terkesan, termasuk mereka yang cedera. Kami memberi tumpuan untuk menyokong semua rakan sekutu kami dengan sumber yang ada termasuk kaunseling,” katanya.

Kejadian tembakan itu berlaku di sebuah Walmart di Chesapeake, peruncit terbesar di negara itu. Pasukan keselamatan menerima laporan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 10.12 malam waktu tempatan pada 22 November.
Artikel Berkaitan:


Ketua Polis Mark Solesky memberitahu pemberita bahawa lelaki bersenjata itu meninggal dunia akibat luka tembakan yang dilakukan sendiri.- Bernama