Majlis Raja-Raja cadang lima ahli JAC bukan dilantik PM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) bersama Tuanku Muhriz dan Raja-raja Melayu berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara hari ini. -Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) bersama Tuanku Muhriz dan Raja-raja Melayu berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Majlis Raja-Raja mencadangkan pelantikan lima ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak dibuat oleh perdana menteri.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, pelantikan itu perlu diberi kepada institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

“Untuk Badan Kehakiman, Majlis Raja-Raja bertanggungjawab melantik hakim-hakim di Malaysia. Beta melihat proses lantikan hakim di Malaysia pada masa ini, mempunyai kelemahan dan boleh diperbaiki.

“JAC memainkan peranan utama mengemukakan cadangan pelantikan hakim.

“Keanggotaan JAC adalah kritikal untuk memastikan ia mampu mengemukakan nama hakim yang berintegriti dan berkaliber,” titah baginda selepas mempengerusikan Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara, pada Rabu.

Baginda bertitah, JAC juga mempunyai sembilan keahlian merangkumi empat orang yang merupakan hakim sedang memegang jawatan terkanan, manakala lima lagi ahlinya ialah individu dilantik oleh perdana menteri.

"Bagi memastikan JAC bebas dalam melaksanakan tanggungjawab, beta mencadangkan agar pelantikan lima ahli JAC tidak dibuat oleh perdana menteri.

"Dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan pada mana-mana pihak," titah Tuanku Muhriz.

Artikel Berkaitan:

Baginda mencadangkan supaya struktur JAC turut dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada dan badan-badan guaman serta institusi atau pihak yang berkepentingan (stakeholders) lain.

"Jika semua ini dilaksanakan, beta yakin JAC mampu menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim di Malaysia adalah di kalangan individu berkeperibadian mulia, telus dan adil," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 itu.

Turut berangkat ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Berangkat sama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra, selain dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir pada mesyuarat tersebut.