Calon Pejuang reda jika hilang deposit

Osman (kanan) beramah mesra bersama rakyat Rompin di pasar.
Osman (kanan) beramah mesra bersama rakyat Rompin di pasar.
A
A
A

KUANTAN - Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Osman A. Bakar mengaku reda jika hilang wang taruhan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, 7 Disember ini.

Katanya, risiko itu sudah dijangka, kerana ia adat pertandingan sama ada menang atau kalah.

Beliau bagaimanapun yakin akan berlaku gelombang anak muda dan pengundi baharu yang mungkin membantu untuk memberi undi kepadanya.

"Saya tetap reda, jika kalah dan hilang wang taruhan, tetapi perjuangan akan tetap diteruskan. Tapi saya lihat ada gelombang anak muda dan pengundi baharu di DUN Tioman ini.

"Kalau mereka pilih calon bukan parti, jadi saya ada harapan (tidak hilang wang deposit), ini kerana sebagai anak tempatan, ramai mengenali saya di sini,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 16 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 dan lapan kerusi dimenangi PH.

SPR mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman yang ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, diadakan pada 7 Disember ini,

Osman mencabar calon Pakatan Harapan,Mohd Fadzli Mohd Ramly dan tiga lagi calon BN, Mohd Johari dan tiga lagi dari calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim, dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Artikel Berkaitan:

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

Osman berkata, sepanjang enam hari berkempen penerimaan rakyat semakin positif apabila pengundi sudah mengenali calon Pejuang yang bertanding.

Ditanya misi dan visi sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat, beliau memaklumkan akan membangunkan institusi pendidikan di DUN Tioman.

"Saya mahu kerajaan membina institusi berasingan bagi pelajar-pelajar Pra Universiti. Ini kerana sehingga kini Kementerian Pendidikan masih lagi menempatkan pelajar-pelajar ini di sekolah.

"Kalau di Rompin ini penempatan pelajar Pra Universiti adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin, SMK Tanjung Gemok dan SMK Seri Rompin," ujar beliau yang merupakan bekas guru.