Sistem amaran banjir di Sungai Chat mula Februari

Projek sistem amaran awal banjir dijangka dimulakan di Sungai Chat Johor Bahru pada Februari tahun depan.
Projek sistem amaran awal banjir dijangka dimulakan di Sungai Chat Johor Bahru pada Februari tahun depan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memulakan projek perintis sistem amaran awal banjir di Sungai Chat pada Februari tahun depan.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, sistem amaran awal banjir akan memudahkan penduduk berhampiran berpindah ke tempat selamat sekiranya banjir berlaku.

"MBJB akan memulakan projek perintis sistem amaran awal banjir selepas mengesan fenomena air pasang besar luar biasa yang semakin kerap melanda sungai-sungai di bandar raya Johor Bahru.

"Menerusi sistem amaran banjir yang akan dipasang nanti, penggera akan berbunyi dan amaran akan disiarkan, maklumat amaran juga akan dihantar ke telefon bimbit penduduk berhampiran sungai untuk bertindak menyelamatkan diri dan berpindah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB pada Rabu.

Menurut Mohd Noorazam, faktor kekerapan air pasang luar biasa yang berlaku sejak kebelakangan ini meningkatkan risiko banjir terutama di pusat bandar dan kawasan penempatan jika hujan lebat berlaku.

Jelasnya, keadaan cuaca yang semakin di luar jangkaan itu memerlukan langkah pencegahan menyeluruh bagi mengelakkan impak banjir serius melanda bandar raya ini.

"Beberapa sungai di kawasan bandar raya merekodkan paras luar biasa antara 3.5 meter hingga 3.8 meter ketika fenomena air pasang besar berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Berbanding sebelum ini, air pasang di sungai-sungai di bandar raya ini merekodkan paras di bawah tiga meter," katanya.