Bale belum sedia 'gantung but' bersama Wales

Bale - Foto EPA
Bale - Foto EPA
A
A
A

KAPTEN Wales, Gareth Bale masih belum berniat untuk menggantung but di pentas antarabangsa meskipun ketika ini timbul keraguan mengenai masa depannya selepas tersingkir pada peringkat kumpulan di Piala Dunia Qatar 2022.

Pemain berusia 33 tahun itu berkata, selagi khidmatnya masih diperlukan oleh skuad Dragons, dia bersedia untuk membantu pasukannya terutama bagi kempen kelayakan Euro 2024 yang akan bermula pada Mac ini.

Ia saat yang sukar ketika ini, tetapi jelas kami akan mula sekali lagi. Saya akan teruskan selagi mampu dan diperlukan.

“Kami ada kempen kelayakan (Kejohanan Eropah) pada Mac dan ada beberapa bulan untuk tidak beraksi dalam bola sepak antarabangsa yang jelas ia mengecewakan kerana kami mahu kekal lebih lama,” katanya.

Sebelum ini, hasrat Wales untuk mara pusingan kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 tidak kesampaian selepas tewas pada peringkat kumpulan di kedudukan tercorot dengan satu mata, selepas seri 1-1 berdepan Amerika Syarikat dalam aksi pembukaan dan tewas 2-0 kepada Iran pada perlawanan kedua.

Dalam pada itu, pengendali Wales, Rob Page berkata, meskipun kecewa kerana pasukannya gagal mara ke pusingan seterusnya, namun dia tetap memuji aksi ditampilkan anak buahnya pada kejohanan tersebut.

“Kami kecewa meninggalkan kejohanan tetapi itulah cara untuk keluar, persembahan separuh masa pertama sangat baik.

“Pesanan saya ialah jangan kecewa, kami perlu membina untuk masa depan dan untuk ke Piala Dunia adalah pencapaian yang sukar dipercayai untuk kumpulan pemain itu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: