'Satu permulaan yang baik'

Nurhayati
Nurhayati
A
A
A

SHAH ALAM - Penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tiada lagi kelulusan dan perolehan projek kerajaan tanpa tender terbuka disifatkan sebagai satu permulaan yang baik kepada kewujudan pentadbiran bebas rasuah dan penyelewengan sekali gus menyahut seruan Rasuah Busters.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pemantauan dan penelitian pihak yang berkredibiliti perlu bermula di peringkat awal agar kontrak dan dokumentasi perundangan dapat dilengkapkan dengan baik.

“Pengurusan tender mesti ditadbir dengan penuh akauntabiliti. Ini kerana kita tidak mahu keselamatan serta kepentingan negara terjejas akibat perbuatan khianat dan tidak amanah pihak yang tamak,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Nurhayati, sekalipun penilaian tender dibuat berdasarkan kriteria tertentu, ia juga harus mempraktikkan integriti pegawai penilai agar sesuatu tender diberikan secara adil, cekap dan tidak berat sebelah.

“Dalam hal ini, dokumentasi perundangan membabitkan kontrak kerajaan juga mesti diteliti oleh pihak yang bukan saja berkelayakan, malah mengetahui spesifikasi teknikal dan transaksi berkaitan.

“Kita juga memerlukan objektiviti dalam mengambil tindakan terhadap sebarang isu berkaitan perolehan. Ini kerana risiko rasuah cukup terbuka luas untuk dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri,” ujarnya.

Rasuah Busters turut menyambut baik inisiatif Perdana Menteri dan berharap Kerajaan Perpaduan dapat menambah baik sistem perolehan bagi memastikan ketelusan pelaksanaan projek membabitkan wang rakyat dan negara.

Katanya, komitmen penjawat awam dan semua pihak tentunya diperlukan dalam tempoh pemulihan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

“Pengurusan perolehan adalah antara perkara terpenting yang harus diterjemahkan dengan tadbir urus yang tinggi agar ketirisan yang menyebabkan pengaliran wang dengan tidak sepatutnya ditangani secara serius,” kata Nurhayati.

Pada Selasa, Anwar menegaskan kerajaan tidak lagi memberikan kelulusan dan perolehan projek tanpa tender dalam pentadbirannya.

Ujar beliau, kerajaan yang dipimpinnya tidak akan membenarkan ketirisan atau rasuah berterusan di negara ini.

"Pengurusan tender mesti ditadbir dengan penuh akauntabiliti. Ini kerana kita tidak mahu keselamatan serta kepentingan negara terjejas akibat perbuatan khianat dan tidak amanah pihak yang tamak," katanya.