Polis buru 'Mad Kelawar', 'Yun'

Hasil rakaman CCTV berkenaan kejadian samun di sebuah stesen minyak di Genting Sempah yang tular di TikTok.
Hasil rakaman CCTV berkenaan kejadian samun di sebuah stesen minyak di Genting Sempah yang tular di TikTok.
A
A
A

BENTONG - Seorang lelaki berjaya ditahan manakala dua lagi suspek dikenali 'Mad Kelawar' dan 'Yun' kini diburu polis selepas cubaan menyamun seorang pelajar wanita yang sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di di Genting Sempah di sini pada Sabtu.

Kes tersebut juga telah tular di akaun TikTok memaparkan rakaman kamera litar tertutup berdurasi satu minit empat saat yang bertujuan untuk mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun tiba-tiba dihampiri oleh seorang lelaki tidak dikenali yang cuba meragut gelang emas milik pelajar tersebut.

Menurutnya, mangsa sempat menjerit meminta tolong dan didengari ayah serta abang ipar mangsa dan lelaki iaitu suspek pertama cuba melarikan diri menaiki motosikal seorang lagi rakannya, namun gagal selepas berjaya ditangkap hasil bantuan orang awam.

"Suspek pertama yang merupakan warga tempatan berusia 34 tahun mempunyai lima rekod jenayah dan dadah kini telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk membantu siasatan.

"Dua lagi rakan suspek berusia lingkungan 30-an berjaya meloloskan diri menaiki motosikal dikenali 'Mad Kelawar' mempunyai sembilan kes jenayah lampau dan pernah ditangkap 16 kali manakala seorang lagi dikenali dengan panggilan 'Yun'," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, polis Bentong akan terus memburu kedua-dua lelaki tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 396 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: