Hujan dijangka berterusan sehingga Isnin

Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda seluruh negara petang ini. - Gambar hiasan.
Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda seluruh negara petang ini. - Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Hujan berterusan dijangka berlaku sehingga Isnin depan susulan angin timuran kencang bertumpu di Timur Sabah dan Pantai Timur Semenanjung.

Ketua Pengarah Jabatan Meterologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah menerusi kenyataan pada Selasa berkata, ramalan itu berdasarkan analisis model-model cuaca.

"Satu sistem cuaca tekanan rendah dijangka terbentuk di perairan Laut China Selatan pada Jumaat ini dan bergerak ke arah barat laut menghampiri perairan Kelantan dan Terengganu keesokan harinya," katanya.

Menurutnya, METMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada yang melibatkan Pantai Timur Semenanjung dan Sabah pada Khamis sehingga Jumaat ini.

"Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih," katanya.

Sementara itu, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda seluruh pantai barat Semenanjung Malaysia dan sebahagian tempat di Terengganu serta Pahang.

Berdasarkan data yang dikeluarkan boleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), keadaan cuaca buruk itu turut melibatkan kawasan pesisir pantai Sarawak dan pantai barat Sabah sehingga jam 6 petang.

Ia melibatkan Perlis, Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu dan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Turut terlibat, Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang, Muallim, Dungun, Kemaman, Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Kuantan, Bera, Pekan, Rompin serta keseluruhan negeri Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

Di Johor, ribut petir berlaku di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, manakala di Sarawak ia membabitkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Pakan, Sarikei, Matu, Dalat Mukah, Bintulu, Subis, Beluru, Miri, Marudi dan Limbang.

Di Sabah pula, cuaca buruk dilapor berlaku di Tawau, Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat.