Kadar pengangguran di Kelantan menurun

Hanifa ketika menjawab soalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Selasa.
Hanifa ketika menjawab soalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kadar pengangguran di Kelantan menurun kepada 3.8 peratus daripada 700,000 keseluruhan jumlah tenaga buruh di negeri ini.

Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad berkata, jumlah itu berdasarkan laporan terkini Jabatan Statistik Malaysia.

Beliau berkata, tahun lalu kadar pengangguran yang dicatatkan ialah pada kadar 4.2 peratus.

"Jumlah itu menunjukkan ada pemulihan dalam sektor pekerjaan selepas aktiviti ekonomi dibuka semula akibat pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa ketika menjawab soalan Mohd Adanan Hassan (Kelaboran-Pas).

Menurut Hanifa, langkah ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan dalam perkhidmatan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada usahawan bagi menjana semula pendapatan

Tambah beliau, kerajaan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi merangsang pasaran buruh bertujuan mengurangkan kadar pengangguran.

"Berdasarkan Sistem Insuran Pekerja, Perkeso dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini melaksanakan 53 temuduga mingguan, 34 temuduga khas kepada golongan sasar seperti Orang Kurang Upaya, wanita, belia dan bekas penagih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, program itu dapat membantu meningkatkan peluang kepada pencari kerja dan secara tidak langsung memenuhi sektor pekerjaan.