4 ejen bookie pertaruhan Piala Dunia diberkas

Antara komputer riba yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bukit Maluri Kepong, di sini, pada Sabtu.
Antara komputer riba yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bukit Maluri Kepong, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai empat lelaki warga tempatan disyaki ejen bookie pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman di Taman Bukit Maluri Kepong, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menahan kesemua lelaki berusia 40 hingga 47 tahun itu dalam serbuan pada jam 10.15 malam.

"Kita merampas tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit modem, satu unit tablet, dua unit komputer riba dan sebatang kunci rumah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Eng Lai berkata, siasatan mendapati kegiatan perjudian itu berselindung di sebalik sebuah rumah dan dipercayai telah beroperasi sejak sebulan lalu.

"Siasatan lanjut mendapati hanya salah seorang dari suspek yang ditangkap mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek telah direman selama tiga hari bermula Ahad sehingga Selasa untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menguruskan aktiviti perjudian atas talian, Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 kerana menjadi ejen perjudian bola sepak dan Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 kerana bermain judi dalam talian," katanya.

Beliau berkata, Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak terlibat di dalam mana-mana aktiviti perjudian.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-40482222," katanya.