Fokus jentera Wanita Amanah NS pada PRN

Norwani
Norwani
A
A
A

SEREMBAN - Fokus jentera Wanita Amanah Negeri Sembilan kini tertumpu kepada persediaan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka dibuat selepas tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun hadapan.

Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat berkata, masih belum terlambat untuk parti itu untuk melakukan penambahbaikan supaya kembali bangkit pada PRN ini.

"Kekalahan kita pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini saya umpamakan sebagai 'peperiksaan percubaan' untuk kita buat persiapan pada PRN akan datang dan saya akui kita kalah di beberapa Parlimen tetapi belum terlambat buat penambahbaikan.

Bagaimanapun, kita dah selesai buat analisa dapatan PRU15 dan setakat ini apa yang boleh saya katakan undi orang Melayu tidak berpihak kepada kita berbanding pada PRU14 termasuk pengundi muda.

"Justeru, kita akan atur strategi baharu bagaimana untuk kita pulihkan semula keyakinan pengundi di semua peringkat umur kepada Amanah khususnya PH Negeri Sembilan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga calon PH Parlimen Jempol pada PRU15 berkata, akan terus memberikan khidmat baktinya di Parlimen Jempol walaupun beliau kalah pilihan raya tersebut.

Pada PRU15, calon BN,Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Jempol dengan 30,138 undi mengalahkan calon PN, Muhammad Noraffendy Mohd Salleh (16,722 undi), calon PH, Norwani (24,281 undi), dan GTA, Mohd Khalid Mohd Yunus (654 undi) dengan majoriti sebanyak 11,519.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Negeri Sembilan sekali lagi mengulangi pendiriannya yang hanya akan membubarkan DUN dengan dua negeri lain iaitu Selangor dan Pulau Pinang secara serentak di bawah kerajaan PH pada tahun hadapan dijangka selepas habis penggal.

Artikel Berkaitan:

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun keputusan itu masih kekal begitu buat masa ini.