Nekad bakar rumah sendiri selepas menang taruhan Piala Dunia

Akibat perbuatannya, Joi mengalami kerugian berjumlah RM1,427. - Foto: Agensi
Akibat perbuatannya, Joi mengalami kerugian berjumlah RM1,427. - Foto: Agensi
A
A
A

SITARO - Gara-gara tidak berpuas hati dengan jumlah wang taruhan yang diterima, seorang lelaki di Indonesia nekad membakar rumahnya sendiri.

Kejadian itu berlaku di Desa Tanaki Lindongan, Kecamatan Siau Barat Selatan di Sitaro, wilayah Sulawesi Utara pada Jumaat lalu.

Individu dikenali sebagai JD atau Joi dipercayai bertindak sedemikian kerana terlalu gembira setelah menang pertaruhan Piala Dunia 2022.

"Siasatan awal mendapati Joi bersama rakannya bertaruh 200,000 rupiah (RM57) ketika perlawanan antara Brazil dan Serbia.

"Kemenangan akhirnya berpihak kepada Joi selepas pasukan Brazil berjaya mengalahkan Serbia 2-0," kata Ketua Polis Kepulauan Sitaro, Iwan Permadi kepada Detikcom pada Sabtu.

Menurutnya, Joi kecewa selepas rakannya tidak memberikan jumlah wang seperti yang dijanjikan.

"Temannya hanya memberikan 120,000 rupiah (RM34). Joi kemudiannya membuat kecoh hingga ditegur oleh seorang imam.

"Dia yang berada di bawah pengaruh alkohol bagaimanapun tidak dapat menerima teguran itu lalu pulang ke rumahnya sambil menjerit-jerit," jelas Iwan lagi.

Artikel Berkaitan:

Setibanya di rumah, Joi telah mengusir isteri dan anaknya sebelum mengambil botol berisi minyak tanah dan membakar kediaman keluarganya.

Akibat tindakan melulu itu, Joi ditahan pihak berkuasa kerana mengganggu ketenteraman awam dan turut mengalami kerugian dianggarkan berjumlah 5 juta rupiah (RM1,427). - Agensi