Bajet 2023: Ini suara rakyat...

A
A
A

SHAH ALAM - Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula oleh kerajaan baharu diharap dapat ditambah baik dengan memfokuskan isu keperluan rakyat Malaysia.

Tinjauan Sinar Ahad mendapati, orang ramai berharap agar isu pengawalan harga barang mentah, rumah mampu milik, bantuan tunai, pelancongan domestik dan kenaikan gaji minimum diberi perhatian terhadap belanjawan itu.

Muhamad Firdaus Mohamad Johar, 37, yang merupakan penyelaras permit di sebuah syarikat swasta di Lembah Klang berkata, harga barangan kini sudah tidak sepadan dengan kos sara hidup majoriti rakyat marhaen.

“Harga ayam mentah, ikan, bawang dan telur sekarang agak mahal. Jadi kalau kerajaan ada apa-apa mekanisme seperti subsidi, inilah masanya untuk diperkenalkan,” kata anak kelahiran Maran, Pahang itu kepada pemberita.

Tegas Muhamad Firdaus, perkara yang dicadangkan itu juga akan memberi impak pertumbuhan ekonomi sesebuah isi rumah.

Dia juga berharap agar kerajaan dapat menyediakan banyak rumah mampu milik kepada rakyat terutama yang kurang berkemampuan.

Kerajaan diharap dapat menyediakan banyak rumah mampu milik kepada rakyat terutama yang kurang berkemampuan.
Kerajaan diharap dapat menyediakan banyak rumah mampu milik kepada rakyat terutama yang kurang berkemampuan.

“Ramai orang yang sudah bekerja berpuluh tahun tapi masih tidak mampu untuk beli rumah sedangkan itu keperluan asas untuk keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Kalau nak sewa rumah, mahal. Rumah flat di Lembah Klang pun (sewa) sudah cecah RM800 sebulan. Kalau gaji RM2,500 sebulan, hendak sara lima anak memang memeritkan,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Sementara itu, Ammar Hadis, 23, yang merupakan pegawai khidmat pelanggan berharap satu insentif kepada orang bujang yang bakal berkahwin diperkenalkan.

“Dengan cara ini dapat membantu mengurangkan beban mereka yang baru mendirikan rumah tangga untuk mulakan hidup berkeluarga.

“Biasanya selepas berkahwin, pasangan ini memerlukan duit banyak,” kata anak jati Selangor itu.

Kerajaan diharap dapat menyediakan banyak rumah mampu milik kepada rakyat terutama yang kurang berkemampuan.
Kerajaan diharap dapat menyediakan banyak rumah mampu milik kepada rakyat terutama yang kurang berkemampuan.

Bagi Abdul Latif Abd Rahim, 24, dia mencadangkan kerajaan dapat memberi peruntukan lebih kepada sektor pelancongan.

Pemuda yang bekerja dalam sektor hospitaliti di kampung halamannya, Pulau Pangkor, Perak berpandangan, sektor berkenaan merupakan salah satu daripada janaan ekonomi penting bukan sahaja kepada kampungnya, tetapi negara.

“Apabila ada peruntukan untuk pelancongan, meriahlah sedikit negara kita dengan pelancong. Malaysia banyak tempat menarik untuk dilawati orang luar, rugi kalau kerajaan tidak mengambil peluang ini,” kata graduan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu.

Nurul Najihah Mohd Roffee, 24, pula berharap isu gaji minimum segera diperhalusi oleh kerajaan memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kos sara hidup perlu diselarikan terutama untuk anak muda agar dapat memulakan dan membina hidup dengan baik, dapat mengumpul aset sepertimana orang lain” kata anak jati Terengganu itu yang bekerja sebagai pengurus kandungan.Berkongsi pandangan sama, Nur Hazimah Hamedan, 23, turut menyatakan Bajet 2023 merupakan satu perkara serius demi masa depan rakyat Malaysia yang tertekan dengan kos sara hidup tinggi.“Saya yang bekerja sebagai pembantu taska pun dapat melihat rakyat Malaysia bekerja kuat sampai berjam-jam, tapi gaji yang dimiliki tidak berbaloi,” ujarnya.