Enterprise 50 iktiraf PKS, penyertaan wanita meningkat

Program E50 anjuran SME Corp Malaysia yang mengiktiraf pencapaian PKS, mencatat jumlah penyertaan usahawan wanita yang meningkat hampir 100 peratus pada tahun ini. - Foto FB SME Corp Malaysia
Program E50 anjuran SME Corp Malaysia yang mengiktiraf pencapaian PKS, mencatat jumlah penyertaan usahawan wanita yang meningkat hampir 100 peratus pada tahun ini. - Foto FB SME Corp Malaysia
A
A
A

PROGRAM Enterprise 50 (E50) anjuran SME Corp Malaysia yang mengiktiraf pencapaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mencatat jumlah penyertaan usahawan wanita yang meningkat hampir 100 peratus pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rizal Nainy berkata, daripada 50 syarikat yang terpilih sebagai pemenang dalam acara kemuncak Anugerah E50 yang bakal berlangsung malam Jumaat, seramai 21 usahawan adalah wanita berbanding hanya 11 orang pada 2019.

"Selepas lima siri jelajah di sekitar Malaysia mengikut zon, jumlah penyertaan usahawan wanita meningkat ketara sebanyak 98 hingga 100 peratus pada tahun ini berbanding 2019,” katanya pada sidang media mengenai Anugerah E50 di sini, pada Jumaat.

Acara itu tidak diadakan pada 2020 dan 2021 berikutan pandemik Covid-19.

Ryzal berkata, acara kendalian SME Corp yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu turut menyaksikan pengiktirafan menerusi Anugerah Usahawan Wanita Terbaik dan Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50.

Daripada 50 syarikat bagi Anugerah E50 tahun ini, sebanyak 10 pemenang utama telah diumumkan dengan masing-masing 52 peratus daripada sektor pembuatan dan 48 peratus di sektor perkhidmatan.

"SME Corp juga buat pertama kalinya memperkenalkan Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50 bagi mengiktiraf sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih-lebih lagi dalam era pasca COVID-19,” katanya.

Menurut Rizal, hanya syarikat dengan penarafan 4 dan 5 bintang di bawah Program Penilaian Penarafan Daya Saing PKS bagi Peningkatan (SCORE) layak menyertai program ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tahun ini turut mencatat 213 penyertaan iaitu tertinggi sejak diperkenalkan pada 1997 dengan 63 syarikat melalui proses penilaian bagi memilih 50 syarikat teratas.

Proses penilaian telah dilaksanakan oleh Deloitte Malaysia dan rakan strategik berdasarkan pelbagai aspek pengukur, seperti proses perniagaan, kewujudan pasaran, kedudukan kewangan serta penerimagunaan digitalisasi dalam syarikat masing-masing.

Anugerah E50 telah diakreditasi sebagai anugerah terkemuka yang melambangkan pencapaian dalam perniagaan dan keusahawanan.

Ia turut menjadi pengiktirafan untuk mendorong PKS melaksanakan perubahan dan aspek daya saing bagi merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh. - Bernama