'Powerbank', 'vape' antara barang larangan ke stadium

Zam Halim
Zam Halim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 80,000 penonton dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, persiapan rapi dari semua jabatan berkenaan termasuk pemeriksaan tubuh badan di setiap pintu masuk akan dilaksanakan pada hari perlawanan.

"Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki pekarangan stadium.

"Pihak polis tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang telah dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun di dalam perkarangan stadium.

"Barangan berikut adalah dilarang termasuk mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser pen, objek tajam, senjata, payung, tongkat, 'powerbank', botol air, pemetik api, mancis, rokok, dan rokok elektronik atau 'vape'," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Zam Halim berkata, pintu akan dibuka pada jam 5 petang dan orang ramai dinasihatkan supaya menaiki pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Pada masa sama, beliau meminta individu yang tidak menuju ke SNBJ untuk menonton perlawanan final berkenaan supaya mengelakkan daripada menggunakan jalan di kawasan sekitar bagi mengurangkan kesesakan trafik.

Artikel Berkaitan:

Penutupan dan lencongan jalan akan dilaksanakan pada hari perlawanan bagi melancarkan aliran trafik. - Foto PDRM
Penutupan dan lencongan jalan akan dilaksanakan pada hari perlawanan bagi melancarkan aliran trafik. - Foto PDRM

"Pengguna jalan raya dinasihati supaya mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur ketika sedang memandu kenderaan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai tidak dibenarkan meletak kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan keluar dan masuk ke stadium dan tindakan saman serta tunda akan dikenakan kepada yang ingkar.

Dalam pada itu, Zam Halim berkata, pihaknya akan membuat penutupan dan lencongan jalan di beberapa laluan di sekitar SNBJ sebelum dan selepas perlawanan.

"Penutupan jalan bermula jam 4 petang melibatkan di sepanjang Jalan Barat, dan Persiaran ISN. Persiaran ISN akan dijadikan jalan sehala dan untuk kenderaan berpelekat sahaja.

"Selesai perlawanan jalan sehala akan diaktifkan dari Axiata Arena ke Puchong Link bermula jam 10.30 malam hingga selesai," ujar beliau.