Harimau akar cederakan wanita strok ditangkap

Harimau akar berjaya ditangkap dengan bantuan anggota Perhilitan pada Khamis.
Harimau akar berjaya ditangkap dengan bantuan anggota Perhilitan pada Khamis.
A
A
A

LIPIS - Seekor harimau akar yang memasuki rumah dan mencederakan seorang wanita pengidap strok di Kampung Sentang Pagar Sasak di sini berjaya ditangkap tengah malam pada Khamis.

Haiwan itu ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kira-kira jam 12.45 tengah malam setelah ditembak menggunakan ubat pelali.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 6.45 petang daripada anak saudara pemilik rumah berhubung kejadian.

Menurutnya, susulan maklumat, anggota pondok polis Pagar Sasak ke lokasi dan mendapati penduduk kampung telah mengepung harimau berkenaan yang berada di bawah rumah.

"Harimau tersebut dipercayai masuk kawasan kampung dan dilihat mengejar seekor kucing sehingga masuk ke dalam rumah milik pasangan suami isteri berusia 55 dan 58 tahun melalui pintu hadapan.

"Ketika kejadian pemilik ada di rumah bersama isteri yang terlantar di atas katil kerana mengidap strok.

"Terkejut dengan kehadiran harimau itu, pemilik rumah bertindak menghalau namun harimau telah melompat ke atas katil dan telah tercakar kening wanita tersebut," katanya.

Azli berkata, mangsa yang mengalami luka kecil dihantar menerima rawatan ke Klinik Kesihatan Padang Tengku di sini.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian itu telah dimaklumkan kepada pihak Perhilitan Lipis untuk tindakan.

"Anggota Perhilitan tiba kira-kira jam 8 malam dan haiwan itu berjaya ditangkap beberapa jam kemudian," katanya.