Final Piala Malaysia: Johor umum cuti Ahad ini

Cuti khas itu bagi menghargai sokongan padu yang sentiasa diberi oleh rakyat Johor serta penyokong tegar skuad Harimau Selatan.
Cuti khas itu bagi menghargai sokongan padu yang sentiasa diberi oleh rakyat Johor serta penyokong tegar skuad Harimau Selatan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Johor mengisytiharkan Ahad sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada Sabtu ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cuti khas itu bagi menghargai sokongan padu yang sentiasa diberi oleh rakyat Johor serta penyokong tegar skuad Harimau Selatan.

"Tahniah JDT yang telah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 pada Sabtu ini, 26 November.

"Sama-sama kita ramai-ramai hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil esok bagi terus memberi sokongan padu kepada pasukan JDT.

"Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang telah memberi perkenan bagi meraikan kejayaan ini.

"Kerajaan Johor juga mengumumkan hari Ahad, 27 November ini sebagai cuti peristiwa untuk Johor sempena perlawanan bola sepak ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada 20 November lalu, JDT menepati ramalan mara ke final TM Piala Malaysia 2022 apabila menewaskan Sabah FC 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani berkata, kerajaan negeri bersetuju menimbal guna Isnin sebagai cuti umum di negeri ini.

"Adalah dimaklumkan pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa Isnin (28 November) sebagai hari cuti umum bagi seluruh Malaysia.

"Kerajaan Johor bersetuju menimbal guna tarikh tersebut sebagai hari cuti umum bagi negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan: